Suami Sharifah Aleya insaf saat lihat detik kelahiran

Gempak
Januari 10, 2015 15:18 MYT
Suami Sharifah Aleya insaf saat lihat detik kelahiran
Pengacara dan penyampai radio, Sharifah Aleya telah selamat melahirkan bayi lelaki pada pagi Jumaat.
Berita gembira itu dikongsikan oleh Sharifah Aleya atau Leya sendiri di akaun Instagramnya.
Menerusi foto yang dimuat naik Leya, bayi lelaki seberat 2.5 kilogram itu telah dilahirkan secara normal kira-kira jam 5.55 pagi semalam.
Bagaimanapun Leya memberitahu, nama bayi lelaki sulungnya itu akan dikongsikan kelak.
Sementara itu suami Aleya, Miko ketika dihubungi berkata, isteri dan anaknya berada dalam keadaan sihat.
"Syukur Alhamdulillah, semuanya selamat...Isteri dan anak juga sihat," katanya ketika dihubungi Astro Gempak pada pagi Sabtu.
Miko yang teruja dengan kehadiran orang baru dalam keluarganya itu turut berkongsi pengalaman selepas melihat sendiri detik-detik kelahiran bayi mereka.
"Masyaallah, pengalaman baru buat saya. Saya insaf selepas tengok sendiri isteri bersalin dengan mata kepala saya.
"Saya 'respect' semua ibu-ibu di dunia ini terutama Leya kerana sesungguhnya pengorbanan mereka sangat besar," katanya.
Tambah Miko lagi semua kaum bapa perlu mengambil kesempatan untuk melihat sendiri kesakitan isteri ketika melahirkan.
"Selama tiga jam melihat Leya dalam kesakitan...Saya turut merasainya...Ketika itu terdetik dalam hati saya, hebatnya wanita kerana diberi kekuatan seumpama ini.
"Kalau ada peluang, duduklah disamping isteri di saat mereka sedang berjuang dan berjihad...Beri kata-kata semangat kepada mereka," ujarnya.
Menurut Miko lagi nama bayi mereka akan dikongsikan pada hari ketujuh nanti.
"Insyaallah, selepas tujuh hari kami akan kongsikan nama anak kami.
"Saya serahkan kepada Leya untuk memilih nama anak...Saya ikut sahaja," katanya teruja.
Sebelum mengakhiri perbualan, Miko memberitahu puteri kembar mereka paling teruja sehingga tidak berhenti berceloteh sejak adik mereka dilahirkan.
"Melihat keletah si kembar yang tidak berhenti bercakap kerana teruja dengan kehadiran adik mereka, buat saya terlupa tentang semua keletihan kerana tidak tidur," katanya.
Bayi lelaki tersebut merupakan anak pertama Aleya hasil perkahwinan keduanya bersama Muhammmad Azam Abdullah atau Miko.
Aleya dan Miko telah diijabkabulkan pada Januari 2014 di masjid al-Mukarramah di Sri Damansara.
Leya mempunyai sepasang anak kembar Aza Ameena dan Asha Ameena hasil perkahwinan terdahulu.
#Miko Abdullah #Sharifah Amani
;