Suami Salamiah Hassan meninggal dunia
Faida Rahim
November 5, 2022 14:49 MYT
November 5, 2022 14:49 MYT
KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi veteran, Salamiah Hassan, Gerry Hughes meninggal dunia, pagi semalam.
Berita sedih ini disahkan oleh anak Salamiah yang juga penyanyi terkenal, Atilia Haron menerusi laman Instagramnya.
"Kami sekeluarga menerima berita pemergian Gerry Hughes pada Jumaat pagi dan mama sedang dalam perjalanan ke Tasmania, Australia.
"Kami harap semua dapat memberikan masa untuk kami meratapi pemergian yang mengejutkan ini. Al-Fatihah," tulis Atilia.
Pada masa ini, Atilia tidak dapat berkongsi punca kematian bapa tirinya itu dan masih menanti perkembangan daripada ibunya.
Salamiah, 71, dan Allahyarham Hughes yang berusia 68 tahun diijabkabul pada 1 September lalu.
Pasangan itu dinikahkan dalam majlis sederhana di Burnie, Tasmania, Australia iaitu di kediaman Allahyarham Hughes.
Kedua-dua mereka mengenali antara satu sama lain sejak 15 tahun lalu.
Sebelum itu, Salamiah hidup bersendirian selama 35 tahun selepas berpisah dengan suami pertama, Raja Haron Raja Aziz pda 1986.
Selain Atilia, Salamiah juga mempunyai seorang lagi anak iaitu Raja Ahmad Shah.