Suami Eina Azman mula sembuh dari COVID-19, dibenar pulang ke rumah
Rahimah Abdullah
September 9, 2021 23:35 MYT
September 9, 2021 23:35 MYT
KUALA LUMPUR: Suami pelakon, Eina Azman akhirnya dibenar pulang ke rumah dan kembali ke pangkuan keluarga selepas 12 hari dirawat sebagai pesakit COVID-19 kategori 4 di sebuah hospital swasta.
Ia pastinya berita paling gembira buat Eina dan dua anaknya yang sebelum ini resah apabila kesihatan Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah pada ketika itu semakin merosot apabila tahap oksigennya menurun.
"Syukur Alhamdullilah selepas 12 hari yang cukup mendebarkan buat diri saya dan keluarga apabila memikirkan keadaan suami saya yang kena COVID Stage 4 dan paru-paru pun dah merebak 30 peratus, dengan oksigen yang turun naik dan doktor cakap kalau dalam masa 2 ke 3 hari oksigen tak okay, suami kena masuk ICU. Kalau boleh saya memang tak nak suami saya masuk ke ICU.
"Ya Allah, saya tak tahu nak cakap macam mana perasaan ketika itu, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya yang tak senang duduk, memikirkan apa patut saya buat," katanya dalam satu status yang dimuat naik ke laman Instagramnya pada Khamis.
Justeru, Eina mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan dan semua pengikutnya yang tidak henti-henti berdoa dan berkongsi tips serta petua untuk menyembuhkan suaminya
"Sekarang ini, suami saya pulang ke rumah, mungkin juga dari doa-doa semua yang Allah makbulkan," ujar Eina.