Suami Bunga Citra Lestari didakwa gelapkan RM1.7 juta
Astro Awani
Jun 4, 2024 17:05 MYT
Jun 4, 2024 17:05 MYT
AHLI perniagaan Tiko Aryawardhana, yang juga suami kepada Bunga Citra Lestari, didakwa menggelapkan sejumlah wang bernilai RM1.7 juta milik syarikatnya PT Arjuna Advaya Sanjaya (AAS).
Memetik laporan Kompas, syarikat perusahaan makanan dan minuman tersebut ditubuhkan bersama bekas isterinya Arina Winarto, dan perbuatan itu didakwa dilakukan antara 2015 hingga 2021.
Peguam Arina, Leo Siregar dalam satu kenyataan media berkata, Tiko bertindak sebagai pengarah urusan, manakala Arina yang mengeluarkan modal pula menjadi pengarah, yang juga pemegang saham majoriti syarikat tersebut.
“Tiko mempunyai kuasa penuh untuk menguruskan kegiatan syarikat, termasuk kewangan, dan Arina lebih pasif dan hanya mahu melihat urusan syarikat berjalan lancar. Bagaimanapun pada 2019, Tiko telah menyatakan hasrat untuk menutup syarikat, atas alasan tidak mampu membayar sewa.
“Memandangkan dokumen keuntungan dan kerugian yang mencurigakan, Arina mula menyiasat dan membuat laporan bahawa dokumen itu telah dimanipulasi. Arina kemudian melakukan siasatan dan audit, sebelum mendapati dana sebanyak RM1.7 juta telah digunakan,” menurut peguam itu lagi.
Leo berkata, Arina kemudian telah membuat laporan polis pada 2022 selepas Tiko gagal menjelaskan mengenai audit syarikat, dan kini sedang dalam tindakan pihak berkuasa.
Untuk rekod, Tiko dan Arina bernikah pada Jun 2014, dan dikurniakan sepasang kembar, sebelum berpisah pada Oktober 2021.
Tiko kemudian melangsungkan perkahwinan dengan Bunga pada Disember tahun lepas.