Suami, anak pernah positif COVID-19, Che Ta lapang dada terima ujian
Astro Awani
Disember 14, 2021 17:01 MYT
Disember 14, 2021 17:01 MYT
KUALA LUMPUR: Rencana asal pelakon terkenal, Rozita Ce Wan atau Che Ta ialah menganjurkan ulang tahun kelapan perkahwinannya dengan Zain Saidin terpaksa ditunda berikutan Zain disahkan dijangkiti COVID-19 bulan lalu.
Sehari selepas Zain, anak perempuan tunggal pasangan itu, Aaisyah Dhia Rana juga turut dijangkiti wabak berkenaan.
Ekoran dugaan itu, Rozita juga berkata, rancangan untuk bercuti di sebuah pulau persendirian di Langkawi juga terpaksa ditunda.
"Ikutkan dalam seminggu juga saya, suami dan Aaisyah ditemani jurugambar menikmati percutian di pulau itu. Kami patut pulang daripada percutian itu sehari sebelum ulang perkahwinan kelapan yang diraikan pada 11 Disember lalu.
"Apa nak buat, kita tak mampu menghalang semua ini. Suami saya patut menjalani penggambaran sebuah drama bulan lalu, tapi akhirnya kena tolak tawaran itu.
"Suami memang bergejala seperti batuk, selesema dan demam. Cuma dia sendiri kurang pasti terkena virus itu di mana. Kemudian berjangkit pula kepada Aaisyah.
"Bagaimanapun, Aaisyah hanya demam saja, tetapi deria rasanya masih ada. Tapi saya dan dua anak lelaki bersyukur kerana kami sebaliknya disahkan negatif. Syukur suami dan Aaisyah sudah pulih sepenuhnya," katanya kepada Astro AWANI.
Biarpun sedih dengan situasi itu, namun, apa kudrat yang ada pada pelakon yang berasal dari negeri Kedah itu untuk menghalang COVID-19 tidak menjangkiti dua insan yang disayanginya itu.
Katanya, sekalipun suaminya sudah menerima dua dos suntikan vaksin, namun, apabila sudah ditakdirkan akan dijangkiti, semua itu harus diterima dengan hati yang lapang.
"Walaupun suami sudah lengkap dua dos suntikan vaksin, ia bukan jaminan yang virus jahat itu takkan menyerang. Virus ini memang ada di sekeliling kita. Apabila kena batang hidung sendiri saat ahli keluarga dan adik beradik sendiri positif wabak itu, kita kena reda.
"Kadang kadang sejauh mana kita berhati hati pun, nak jadi... jadi juga," kata Rozita yang turut memaklumkan, ibu dan adik beradiknya turut positif COVID-19 beberapa bulan lalu.
Sebaik Zain dan Aaisyah disahkan positif COVID-19, dua beranak itu menjalani kuarantin kendiri di rumah.
Sebagai ibu, pilu hati Rozita melihat anak perempuannya itu melalui detik-detik yang menyulitkan termasuk perlu memaksanya menjamah makanan.
"Kesian tengok Aaisyah kena virus ini. Walaupun deria rasa tak hilang, sampai kena paksa dia makan. Kebetulan masa kejadian, mak saya ada di rumahnya di Subang Jaya. Kebiasaannya mak memang banyak berada di Kedah menghabiskan masa di rumahnya di sana.
"Kebetulan juga unit rumah mak di sini berdekatan dengan kediaman saya. Jadi saya dan Aaisyah memilih untuk duduk di rumah mak. Suami pula terus kuarantin di bilik di rumah kami sendiri.
"Dua anak lelaki pun memilih menemani suami saya di rumah tetapi buat hal masing masing di bilik,"katanya.
Sebaik Zain dan Aaisah sudah pulih, Rozita meneruskan rancangan majlis ulang tahun kelapan perkahwinannya dalam sebuah majlis eksklusif yang diadakan di Kuala Lumpur hujung minggu lalu.
"Cuma majlis kali ini memang cukup sederhana kerana situasi semasa pandemik. Tapi tetap nak rasai mood jadi pengantin dengan mengenakan gaun rona putih.
"Tahun ini sempat juga melaram dengan baju songket warna maroon rekaan Man Kajang untuk sesi fotografi. Tahun lalu kalau ada yang masih ingat songket berwarna hijau rekaan pereka fesyen sama jadi pilihan.
"Masa itu, fotografi dibuat di Pulau Langkawi dalam suasana kenduri dan persandingan ala kampung.
Sampai siap diarak dengan paluan kompang. Zain pun siap bertanjak dan berkeris. Kawan baik saya ketika itu jadi 'ekstra' tukang palu kompang," katanya.
Selepas lapan tahun melayari bahtera rumah tangga dengan Zain, Rozita sangat bersyukur kerana kebahagiaan mendakapi dia dan suami.
Namun begitu, Rozita mengakui, lapan tahun bukan tempoh yang mudah untuk dilalui kerana sudah menjadi adat dalam sesebuah perkahwinan pasti ada ujian dan cabaran.
“Biasalah dalam tempoh itu ada gaduh 'manja' dan rajuk. Tetapi tak lama, lepas itu sejuklah.
"Pandemik ini juga menguji, tapi baik saya dan suami cuba mengharunginya sebaik mungkin. Pernah ada ketika saya terguris hati dan sentap dengan suami, dia datang buat kejutan bawa jambangan bunga ketika saya menjalani penggambaran di Kedah.
"Pendek kata pada fasa sekarang memang kena kuat bertahan dan bertolak ansur," kata Rozita lagi.
Rozita dan Zain yang disatukan sebagai suami isteri pada 11 Disember 2013 dikurniakan Aaisyah yang kini
berusia tujuh tahun.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Rozita memiliki dua anak lelaki.