Strok punca kematian Betty White - Laporan

Agensi
Januari 11, 2022 14:30 MYT
White diserang strok enam hari sebelum kematiannya. - AP Newsroom
LOS ANGELES: Strok disahkan menjadi punca kematian pelakon Betty White pada malam tahun baharu yang lalu, menurut salinan sijil kematiannya yang disiarkan dalam talian oleh portal TMZ.com pada Isnin.
Sijil tersebut menyatakan punca kematian White sebagai 'cerebrovascular accident', istilah perubatan untuk strok atau kehilangan aliran darah ke otak yang disebabkan oleh pembekuan atau saluran darah yang pecah, mengakibatkan kerosakan pada tisu otak.
Menurut dokumen yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Awam Los Angeles, White diserang strok enam hari sebelum kematiannya. Bagaimanapun, Agensi Kesihatan dan Pejabat Pendaftar Daerah, di mana rekod penting disimpan, enggan mengulas.
"Betty meninggal dunia dalam tidurnya dengan tenang tanpa rasa sakit. Hal ini (meninggal dunia dengan tenang) sedikit sebanyak memberi ketenangan kepada saya, sebagai rakannya," kata ejen White, Jeff Witjas.
TMZ memetik sumber yang tidak dinamakan, sebagai berkata, White masih sedar sebelum meninggal dunia semasa tidurnya di rumahnya.
White, yang popular menerusi sitkom televisyen The Golden Girls dan The Mary Tyler Moore Show, meninggal dunia pada 31 Disember lalu, kurang tiga minggu sebelum ulang tahunnya yang ke-100.
#Betty White #pelakon #kematian #strok
;