Strategi? Kena pandai cari 'angle', kata Fiji Water Girl
Agensi
Januari 8, 2019 10:47 MYT
Januari 8, 2019 10:47 MYT
GADIS yang berjaya mencuri perhatian media sosial sewaktu acara Anugerah Golden Globe ke-76 pada Isnin, sebenarnya sudah merancang perkara itu dari awal.
Biarpun dalam kebanyakan gambar Kelleth Cuthbert bersama selebriti di karpet merah, nampak seolah-olah tidak sengaja, atau istilah popularnya photobomb, namun hakikatnya ia merupakan strategi yang sudah dirangka awal.
Cuthbert merupakan salah seorang daripada empat petugas yang dipertanggungjawabkan menyediakan air botol dari jenama Fiji Water, kepada hadirin acara tersebut.
"Ia satu strategi. Yang penting dapatkan sudut yang tepat dan baik," katanya kepada portal Los Angeles Times.
Model yang berketinggian 175cm itu juga teruja apabila aksinya mendapat perhatian ramai, sekali gus membuktikan dia menjalankan tugasnya dengan baik.
Menerusi Instagram Story, Cuthbert yang kini digelar Fiji Water Girl, berkongsi penghargaan apabila kemunculan 'tidak sengaja'nya menerima liputan meluas media.
Cuthbert merupakan seorang model bersama agensi modeling AC Talent yang berpangkalan di Los Angeles, dan pernah memperaga di Kanada dan Jerman.