Steve Harvey akan bertemu Miss Universe dan Ratu Colombia menerusi rancangan khas

Kohilah Sekaran
Januari 16, 2016 16:02 MYT
Steve Harvey yang tersilap mengumumkan nama pemenang di Miss Universe akhirnya bersuara tentang insiden itu secara terbuka melalui satu segmen khas.
PENGACARA kontroversi pertandingan Miss Universe 2015, Steve Harvey yang tersilap mengumumkan nama pemenang di pentas Miss Universe akhirnya bersuara tentang insiden itu secara terbuka melalui satu segmen khas bertajuk ‘Miss Universe: The Truth’ menerusi rancangannya.
Harvey sebelum ini telah tersilap mengumumkan nama peserta Colombia, Ariadna Guttierez sebagai pemenang Miss Universe 2015, yang mana gelaran itu sepatutnya diberikan kepada peserta Filipina, Pia Alonzo Wurtzbach.
Difahamkan, Gutierrez akan menyertai Harvey dalam rancangan ini buat kali pertama sejak kekecohan itu berlaku, bersama-sama dengan Miss Universe yang baru dinobatkan itu.
Rancangan khas ini akan hanya disiarkan untuk dua hari iaitu pada 18 dan 19 Januari ini.
Menerusi sebuah video promo bagi segmen ini, Harvey berkata, “Perkara ini telah menggangu tidur saya. Saya tidak melakukan sebarang temuramah sehingga saya diberi peluang untuk bertemu kedua-dua wanita yang paling terjejas, Pia dan Ariadna."
Harvey juga tampil emosi dengan merenung balik bagaimana isterinya, Marjorie, menyokong beliau selepas insiden tersebut.
Bagaimanapun, Pia menyeru Harvey untuk melupakan insiden tersebut kerana ia bukan sesuatu yang sengaja dibuat.
“Jangan menghukum diri anda lagi. Mari kita lupakan perkara ini,” kata Ratu berusia 26 tahun itu.
Sudah pasti, rata-rata netizen tidak sabar untuk menonton episod khas ini, minggu depan.
#Miss Universe #Rancangan #Steve Harvey
;