Status rumah tangga Engku Emran, Noor Nabila jadi tanda tanya
Astro Awani
Februari 25, 2023 11:51 MYT
Februari 25, 2023 11:51 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas beberapa bulan lalu pernah menjadi perdebatan di media sosial, kali ini status rumah tangga pasangan selebriti Engku Emran Engku Zainal Abidin dan Noor Nabila kembali menjadi perbincangan ramai.
Sejak semalam, media-media tempatan melaporkan rumah tangga pasangan yang akan genap dua tahun pada 19 Mac ini didakwa seperti ‘retak menanti belah’.
Porta berita Harian Metro yang memetik sumber rapat kepada pasangan itu berkata, Engku Emran dan Noor Nabila sudah tidak lagi tinggal sebumbung dan dikatakan dalam proses perceraian.
"Status mereka masih tergantung. Apapun doakan saja mereka," kata sumber itu kepada Harian Metro.
Berdasarkan pemerhatian di akaun media sosial masing-masing, kedua-duanya tidak lagi berkongsi sebarang foto atau video bersama.
Bahkan, ketika Noor Nabila yang juga kakak kepada artis masyhur, Neelofa berangkat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah kelmarin, kelibat Engku Emran tidak kelihatan.
Sebaliknya, bekas suami Noor Nabila iaitu pelakon Sharnaaz Ahmad pula yang berada bersama ahli keluarga untuk mengucapkan selamat jalan.
Noor Nabila dan Sharnaaz berkahwin pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.
Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Jebat Jayden yang turut berangkat ke Mekah bersama ibunya.
Astro AWANI sedang berusaha mendapatkan reaksi daripada Engku Emran, namun, usaha itu gagal kerana dia belum menjawab mesej yang ditinggalkan menerusi WhatsApp.