'Star Wars: The Force Awakens' nostalgik, penuh aksi dan boleh tangkap leleh
Haider Yutim
Disember 18, 2015 08:58 MYT
Disember 18, 2015 08:58 MYT
Seperti peminat tegar Star Wars yang lain, pada mulanya saya agak ragu-ragu dengan kemampuan Disney dan J.J. Abrams menerbit serta menerajui filem idea George Lucas ini.
Apatah lagi bila mendengar bahawa filem terbaharu, The Force Awakens ini tidak ditulis berdasarkan buku-buku atau komik daripada ‘Expanded Universe’, cuma ada beberapa persamaan daripada segi watak dan plot yang digunakan dalam filem tersebut.
Namun, ada satu kelainan yang dibawa oleh filem tulisan Lawrence Kasdan, Michael Ardnt dan Abrams sendiri yang membuatkan saya ternanti-nanti untuk melihat apa yang bakal berlaku pada babak-babak seterusnya selepas lagu pembuka tirai itu dimainkan.
Filem ini berjaya membawa kita mengimbau kembali kenangan daripada trilogi yang asal, terutama sekali apabila ‘muka-muka lama’ muncul satu persatu.
Ini boleh disaksikan apabila penonton bertepuk bila watak seperti Han Solo dan Chewbacca muncul pada saat yang tidak dijangkakan.
Selain itu, terdapat juga beberapa babak yang mampu membuatkan penonton menitiskan air mata, seperti di saat kemunculan pesawat Millenium Falcon, juga ketika dibawa melihat kokpit dan ruang menembak yang pernah digunakan oleh Han dan Jedi legenda, Luke Skywalker dalam A New Hope.
Tidak ketinggalan juga kemunculan ‘artifak' lama milik Luke, serta beberapa ungkapan dalam cerita tersebut yang mengingatkan kita betapa kita merindui Star Wars yang kita dikenali sejak kecil dahulu, sebelum diperkenalkan trilogi kedua pada tahun 1999 hingga 2005.
Selain aksi yang berterusan dan kesan grafik yang lebih canggih, filem ini juga diselitkan dengan elemen humor yang menghiburkan.
Lakonan hebat daripada Daisey Ridley sebagai Rey, dan John Boyega sebagai Finn juga telah berjaya mengubah persepsi ‘negatif’ saya terhadap filem ini.
Lakonan Adam Driver sebagai watak jahat utama, Kylo Ren juga boleh dikatakan mantap - menonjolkannya sebagai seorang ‘dark warrior’ yang amat mengagumi Darth Vader.
Tetapi bagi saya, kadang-kala sikapnya yang terlalu obses ingin menjadi seperti Vader dan panas baran, jelas mencerminkannya sebagai seorang anak muda yang kurang matang serta kurang mendapat perhatian. Justeru membuatkan saya tersenyum sendiri… tetapi mungkin itu yang mahu ditonjolkan oleh Abrams.
Namun tidak dapat dinafikan, Kylo merupakan watak yang sangat berkuasa dalam penggunaan ‘the Force’.
Apa pun, apa yang anda saksikan dalam treler bukanlah seperti apa yang anda sangkakan. Tetapi itulah kelebihan Abrams - membawa elemen kejutan dalam setiap filem yang diarahnya.
Cuma agak mengecewakan, ada watak penting yang ditunggu-tunggu ramai, muncul hanya seketika dalam filem ini.
Secara keseluruhannya, filem Star Wars: The Force Awakens agak ‘best’ dan saya tidak akan teragak untuk menontonnya beberapa kali lagi.
Dan kepada yang hendak menonton untuk kali pertama, sediakanlah tisu… manalah tahu.