Stacy kongsi berita gembira, hamil tujuh bulan
Astro Awani
Mei 31, 2022 10:00 MYT
Mei 31, 2022 10:00 MYT
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal tanah air kelahiran Sabah, Stacy atau nama sebenar, Ummu Shaikhah Stacy Anam berkongsi berita gembira bahawa dirinya kini berbadan dua.
Ini sekali gus menjawab teka-teki peminat yang melihat perubahan pada tubuh badannya terutama ketika dia dan keluarga sedang bercuti di Sabah baru-baru ini.
Kata Stacy, kandungannya kini mencecah tujuh bulan dan dijangka bersalin pada Ogos depan.
“Iya, saya hamil… Sudah tujuh bulan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan. Jika diikutkan, saya sudah tidak mampu untuk ‘cover’ lagi perut yang sudah ke depan.
“Ada video baharu yang dimuat naik ketika bercuti di Sabah bersama suami dan dua anak. Dalam rakaman itu, saya kelihatan cuba ‘cover’ perut. Sempatlah juga bercuti dengan berbadan dua.
“Namun, akhirnya, saya tidak dapat lagi tahan perut… Dilepaskan sahaja perut yang sudah memboyot ke depan itu,” katanya memetik laporan BH Online.
Kata Stacy lagi, dia tidak akan merahsiakan kehamilannya sekiranya ditanya mengenai perkara itu.
“Sebelum ini, ramai mendoakan keadaan saya baik-baik sahaja. Keluarga pun bertanya soalan sama ada saya hamil atau sebaliknya.
“Jika diikutkan, ada yang sudah tahu saya hamil. Saya pun tidak berahsia kalau ada bertanya.
“Sekarang, saya tinggal dua bulan untuk bersalin. Diharapkan segala-galanya dipermudahkan,” tambahnya lagi.
Cahaya mata baharu itu nanti akan menjadi anak ketiga buat pasangan Akim dan Stacy yang mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2016.
Stacy memiliki seorang anak angkat bernama Bella De Luna Valentina, dan anak perempuan, Eshaal Afiq Hakim, hasil perkahwinannya bersama Akim.