Sorakan, ‘standing ovation’ tanda sokongan untuk Hafiz Suip

Gempak
Ogos 4, 2024 01:00 MYT
Kemunculan Hafiz Suip di pentas Konsert ByAjai & Mega Friends di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada malam Sabtu mendapat sorakkan dan tepukkan gemuruh daripada penonton.
KEMUNCULAN penyanyi Hafiz Suip di pentas Konsert ByAjai & Mega Friends di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada malam Sabtu mendapat sorakkan dan tepukkan gemuruh daripada penonton.
Malah ada penonton yang turut memberikan ‘standing ovation’ kepada penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu seakan memberi semangat kepadanya yang sebelum ini pernah menyatakan tidak lagi relevan dalam industri.
Sokongan dan tepukan gemuruh malam tadi menunjukkan Hafiz masih lagi disayangi peminat.
Mungkin sudah lama tidak muncul di khalayak ramai, menyebabkan Hafiz yang tampil dengan sut rona hitam disulami labuci merah tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar sehingga tersalah masuk sewaktu menyanyikan lagu pertamanya Ku Akui.
“Saya agak gementar hari ini. Saya buat demi abang Ajai dan peminat yang datang hari ini,” katanya.
Sementara itu, Hafiz juga memberitahu dia berada dalam keadaan baik sewaktu ditanya Ajai ke mana dia menghilang.
“Sebenarnya saya ada saja. Cuma sekarang saya lebih suka mengenali diri,” katanya lagi.
Sebelum tampil menyanyikan lagu Tak Mungkin Kerna Sayang nyanyian Datin Alyah, Ajai sempat menitipkan beberapa pesanan kepada Hafiz supaya jangan tinggalkan industri seni.
“Ramai yang sayangkan anda. Hafiz seorang yang kuat. Ingat pesan saya jangan tinggalkan industri seni dan jangan terlalu sayangkan manusia,” pesan Ajai.
Dalam masa sama, Ajai turut memuji suara Hafiz yang disifatkan cukup luar bisa.
“Dia bila buka mulut saja, nota pertama sudah beri penghayatan yang tepat.
“Selama Hafiz menjalani proses rakaman dengan saya, dia ada beberapa lagu hits seperti Matahari dan Noktah Cinta,” katanya.
Terdahulu Ajai seolah-olah memberi gambaran Hafiz sedang melalui situasi yang sukar.
Ajai atau nama sebenanrya Mohamad Faizal Maas, 49, bagaimanapun hanya menitipkan pesanan kepada Hafiz untuk terus kuat dan yakin penyanyi itu mampu berdepan situasi berkenaan.
Selain Hafiz, konsert berkenaan turut menampilkan penyanyi hebal lain seperti Dayang Nurfaizah, Hazama, Aina Abdul dan Aufahanie. - Gempak
#Hafiz Suip #konsert #ByAjai &The Friends #Dayang Nurfaizah