"SOP industri kreatif kabur, tidak sesuai untuk penggiat berskala kecil" - Mohd Najib

Madiha Abdullah
Mac 11, 2021 17:00 MYT
SOP yang ada ketika ini dilihat tidak dapat memenuhi keperluan penggiat seni berskala kecil. - Facebook/ATAS by Bijan FX
KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan untuk industri kreatif perlu dikaji dengan lebih menyeluruh, khususnya membabitkan jumlah penonton dan penjarakan fizikal di satu-satu lokasi.
Itu pendapat Mohd Najib Abdul Shukor, pengasas dan pemilik event space ATAS by Bijan X yang berpendapat, SOP yang ada ketika ini dilihat lebih sesuai untuk mereka yang mempunyai kapasiti tertentu, namun tidak dapat memenuhi keperluan penggiat seni berskala kecil.
"Antara SOP yang ditetapkan ialah kena ada jarak 1.5 meter antara penonton. Syarat ini boleh diguna pakai jika venue itu besar dan ada tempat duduk.
"Tetapi untuk kami, sebuah event space yang berbentuk studio kecil dan tak ada tempat duduk, agak sukar untuk dilaksanakan dan kami jadi clueless tentang apa sebenarnya yang boleh serta tak boleh," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI.
Lebih menyukarkan keadaan, katanya, ialah penggiat seni berskala kecil sepertinya tidak mempunyai 'suara' dan platform yang besar untuk meluahkan masalah yang dihadapi mereka.
"Kami ada individu seperti Jennifer Thompson yang selalu mengambil tahu situasi kami dan biasanya dialah yang akan ke hadapan untuk memaklumkan kepada pihak berwajib apa masalah yang kami hadapi berkaitan SOP.
"Tetapi setakat itu sajalah. Kami tak ada satu badan yang boleh mewakilkan suara kami dan bawa isu kami kepada pihak yang berkenaan," ujar Mohd Najib lagi.
Beliau yang juga seorang jurutera bunyi melihat cara baharu yang digunakan industri kreatif luar negara dalam memastikan kelangsungan, bukan satu penyelesaian mutlak.
"Di luar negara, ada persembahan dijayakan dengan penonton diletakkan dalam bubble atau kotak. Tetapi sama juga seperti tadi, ini tidak boleh jadi penyelesaian kepada penggiat seni berskala kecil.
"Penggunaan kotak, bubble atau apa saja, ia akan menambah kos dan kami tak ada kemampuan untuk itu. Sebagai contoh, untuk satu persembahan, tiket kami dijual dengan harga maksimum RM30.
"Untuk satu persembahan, kami boleh dapat kira-kira RM1,500. Itulah nak dibayar kepada artis, pemuzik dan venue. Kalau nak tambah lagi, rasanya memang tak mampu," jelasnya.
Justeru, Najib berpendapat, cara terbaik ketika ini adalah menjaga diri sendiri tanpa perlu terikat kuat dengan SOP.
"Pandemik ini sudah jadi macam demam. Kalau sakit, pergi klinik, jangan datang kerja atau pergi ke mana-mana. Jaga diri sendiri.
"SOP itu boleh dijadikan panduan. Macam saya masuk kedai, saya akan scan MySejahtera dan ambil suhu. Tetapi dalam kedai, adakah semua pelanggan akan ikut penjarakan fizikal seperti yang ditetapkan?
"Sama juga apabila orang main bola di padang, macam mana pula nak jaga jarak? Soal penjarakan fizikal ini pada saya pelik dan susah untuk diamalkan.
"Jadi cara paling mudah untuk teruskan hidup ialah dengan cara menjaga diri sendiri," katanya.
#industri kreatif #SOP #prosedur operasi standard #pandemik #operasi #ATAS by Bijan X #penjarakan fizikal
;