Sony umum generasi baharu "PlayStation 4"
Astro Awani
Februari 21, 2013 20:50 MYT
Februari 21, 2013 20:50 MYT
Syarikat elektronik gergasi Jepun, Sony mengumumkan akan melancarkan generasi baharu sistem permainan video PlayStation 4 (PS4).
Pada sidang media di New York, ketua unit perisian komputer Sony, Andrew House berkata, PS4 menandakan suatu peralihan baru menerusi dunia permainan video.
“Jika dulu masyarakat merasakan PlayStation hanyalah sebuah kotak atau konsol permainan biasa namun kini pemikiran itu akan beralih dengan merasakan PS4 sebagai pusat utama untuk permainan video,” kata House.
Pembangunan PS4 telah dimulakan sejak 4 tahun yang lalu dengan pelbagai kelebihan tersendiri berbanding keluaran PS3 dengan pengenalan cip pemprosesan X86 lapan teras, memori 8 gigabytes GDR5 dan juga alat kawalan jauh khas untuknya.
“Dengan alat kawalan yang lengkap dengan butang sosial khas PS4 membawakan sokongan sosial dengan lebih menyeluruh dan luar biasa,” tambahnya.
Menurut pihak Sony, pengguna boleh berkongsi sesi permainan mereka dengan rakan-rakan dan meminta bantuan rakan sekiranya tidak melepasi suatu peringkat.
“Dengan menggabungkan PS4, PlayStation Network dan platform sosial, ia akan mewujudkan rangkaian sosial pertama dengan makna khusus kepada permainan,” kata House.
Tambahnya, PS4 bakal membawakan suatu pengalaman baru kepada pemain.
PS4 dijadual mula dijual pada musim cuti hujung tahun ini.