SonaOne buat perjanjian dengan Yuna selepas Pulang

Gempak
November 21, 2016 18:00 MYT
Pulang yang dihasilkan sepenuhnya oleh Yuna itu dilancarkan menerusi aplikasi muzik, iTunes dan Spotify pada 20 Ogos lalu.
PENYANYI rap, SonaOne akui telah membuat perjanjian dengan Yuna ketika bersetuju untuk berkolaborasi dalam single duet terbaharu, Pulang baru-baru ini.
SonaOne atau nama sebenarnya Mikael Adam Lozach,28, berkata perjanjian berkenaan dilakukan agar kerjasamanya dengan bintang yang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) itu berterusan selepas ini.
"Sebenarnya, Yuna yang pada mulanya bertanyakan sama ada saya mahu berkolaborasi dengannya atau tidak untuk single terbaharu ciptannya.
"Sudah tentu saya setuju kerana sudah sekian lama saya menanti untuk bekerjasama dengannya, cuma disebabkan kekangan masa dan masing-masing sibuk.
"Namun, dalam masa yang sama saya turut membuat perjanjian agar selepas ini dia pula akan menyanyi bersama saya dalam lagu ciptaan saya dan dia bersetuju.
"Jadi sekarang dia ada hutang dengan saya untuk satu lagu berkolaborasi bersama," katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui.
Pulang yang dihasilkan sepenuhnya oleh Yuna itu dilancarkan menerusi aplikasi muzik, iTunes dan Spotify pada 20 Ogos lalu.
Sementara itu, SonaOne turut berkongsi pengalamannya bekerja dengan Yuna dari proses rakaman hinggalah ke pembikinan muzik video.
"Yuna seorang penyanyi berbakat besar dia sangat profesional dalam kerja yang dilakukan. Malah dia akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada setiap detail ketika proses rakaman dilakukan.
"Saya juga seronok bekerja dengannya kerana dia juga seorang yang kelakar dalam diam.
"Kerja kami juga dapat diselesaikan dengan cepat iaitu hanya selepas dua bulan sahaja lagu siap dan dilancarkan," katanya lagi.
Muzik video Pulang yang dirakamkan di Malaysia itu bakal dilancarkan pada 24 November ini.
#pulang #SonaOne #Yuna
;