Solo: Kisah Star Wars paling gengster

Astro Awani
Disember 20, 2017 05:38 MYT
Ron Howard ambil alih kerusi pengarah daripada Phil Lord dan Christopher Miller yang menarik diri - gambar fail
BELUM lagi kebah demam Star Wars: The Last Jedi, spin-off filem perang galaksi itu Solo: A Star Wars Story sudah mulakan langkah awal promosi.
Menurut salah seorang penggerak utama jalan cerita filem ini Paul Bettany, Solo akan membawa penonton lari sedikit daripada naskhah francais Star Wars seperti yang sedia ada.
“Ia kisah Han Solo dan semestinya ceritanya meloncat-loncat. Pada satu tahap ia adalah filem gengster,” ujar Bettany.
Bettany menggantikan Michael K. Williams selepas pelakon itu menarik diri dalam filem berkenaan kerana pertindihan jadual dengan penggambaran filem The Red Sea Diving Resort.
Masalah berpunca tindakan pengarah asal Phil Lord dan Christopher Miller meninggalkan tugas sekerat jalan selepas berbalah dengan pihak penerbitan dan digantikan dengan pengarah veteran Ron Howard.
Selain Bettany filem ini turut membariskan beberapa lagi nama besar Hollywood antaranya Donald Glover, Woody Harrelson dan Thandie Newton.
Bagaimanapun watak utama Han Solo disandarkan ke bahu pelakon kurang ternama Alden Ehrenreich.
Solo: A Star Wars Story dijadual membuka tirai tayangan pada 25 Mei 2018.
#Christopher Miller #Han Solo #Paul Bettany #Phil Lord #Ron Howard #Star Wars #Thandie Newton #Woody Harrelson
;