Solo atau bersama, Blackpink terus cipta rekod
Astro Awani
Oktober 10, 2021 09:31 MYT
Oktober 10, 2021 09:31 MYT
ANGGOTA Blackpink, Lisa memulakan karier solonya dengan menjadi pemegang rekod.
Muzik video single pertamanya, berjudul LaLisa, daripada album dengan nama yang sama, menjadi video muzik yang paling banyak ditonton oleh seorang artis solo dalam tempoh 24 jam di YouTube, dengan 73.6 juta tontonan.
Ia mengetepikan saingan Me oleh Taylor Swift yang dilancarkan pada bulan April 2019, yang memperoleh 65.2 juta tontonan dalam tempoh 24 jam.
Sebagai ahli ketiga kumpulan itu yang membuat debut solo, Lisa, bersama Rose, kini memahat rekod tersendiri pada tahun 2021.
Awal tahun ini, Rose menjadi artis pertama yang menduduki tempat pertama dalam carta Billboard Global sebagai artis solo dan sebagai anggota sebuah kumpulan, serta mencipta rekod video muzik yang paling banyak ditonton dalam tempoh 24 jam oleh artis solo K-pop - rekod yang kini telah dipecahkan oleh Lisa.
Terbaharu, single solo Rose berjudul Gone telah menerima lebih 100 juta penstriman di platform muzik global, Spotify.
Sebagai sebuah kumpulan, mereka telah menghasilkan dua buah album studio.
Kumpulan ini telah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa, termasuk People’s Choice Award, Teen Choice Award dan MTV Video Music Award.
Empat wanita hebat ini juga pernah memegang beberapa gelaran Rekod Dunia Guinness, termasuk video YouTube yang paling banyak ditonton dalam 24 jam dan video muzik dengan tontonan tertinggi dalam 24 jam, namun rekod itu kini dipegang oleh sebuah lagi kumpulan K-pop, BTS menerusi single berjudul Dynamite.