SMK kembali untuk musim ke-5 dengan cerita yang lebih matang
Astro Awani
Disember 9, 2024 11:40 MYT
Disember 9, 2024 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Siri televisyen popular SMK kini kembali untuk musim kelima.
Selepas lima musim ditayangkan, kesinambungan siri kali ini membawakan penceritaan yang berbeza dan disifatkan lebih matang.
Menurut salah seorang pelakon bagi siri tersebut, Kimberly Chuah, dengan watak-watak baharu yang dilahirkan bagi siri SMK kali ini, penceritaan yang dirangka adalah lebih matang selari dengan perkembangan sejak musim pertama.
"Saya merupakan salah seorang watak baharu yang ada bagi siri SMK kali ini. Disebabkan ia memasuki musim kelima, watak-watak yang dimainkan juga lebih matang, selari dengan penonton yang setia bersama sejak musim pertama.
"Jadi kita boleh jangkakan masalah atau isu yang dimainkan lebih dewasa. Pada masa sama, untuk musim baharu ini, ada juga penceritaan berkenaan watak orang dewasa yang mengimbau kembali masalah mereka ketika bersekolah," katanya dalam AWANI Pagi hari ini.
Sementara itu, Wafiy Ilhan yang memegang watak Mal sejak musim pertama turut teruja dengan penceritaan yang berbeza yang ditampilkan untuk musim kelima.
"Semasa kami lakukan pembacaan skrip, kami sangat teruja untuk sesi penggambaran disebabkan pembawaan cerita kali ini lain berbanding musim lepas.
"Musim kali ini lebih kepada penceritaan berkenaan persahabatan, kekeluargaan dan bagaimana untuk tangani isu-isu semasa," ujarnya.
SMK musim kelima akan mula ditayangkan pada 9 Disember, setiap Isnin jam 9 malam di Astro Ceria.
Antara pelakon utama selain Wafiy dan Kimberly ialah Elly Mazlien, Idan Aedan, Erissa Putri, Fikry Kiki, Fikry Ibrahim, Mia Sara, Sangeeta dan ramai lagi.