Slam catat sejarah, "Gerimis Mengundang" gamit seribu perasaan dan memori indah
Opie Sofia
Februari 17, 2022 20:55 MYT
Februari 17, 2022 20:55 MYT
SUDAH tercatat dalam sejarah peradaban industri muzik bahawa Gerimis Mengundang merupakan lagu yang mampu merentas benua.
Menjadi antem cinta bagi kebanyakan jiwa-jiwa di tahun 90-an membawa kepada zaman millennial, lagu tersebut juga bertindak sebagai ‘cross-cultural’ antem yang mendekatkan lagi pendengar Indonesia dan Singapura dengan halwa telinga lagu Malaysia.
Dinyanyikan semula serta dialihbahasa lebih dari 20 bahasa pula di seluruh Asia.
Itu sebuah penanda aras yang telah maktub dicipta oleh kumpulan Slam.
Untuk tahun era pandemik dan pra-endemik, Slam mencatat sejarahnya lagi.
Menjadi kumpulan pembuka bicara konsert di era yang perlu kita lalui ini.
Sabtu lalu, tanggal 12 Februari 2022, keberanian Shiraz Projects dan Slam membuktikan bahawa kita semua perlu berani untuk berdepan kematangan dan pembaharuan dalam perjalanan hidup kita ke hadapan.
Kerinduan membuatkan mereka ini berani bertemu peminat. Kali terakhir mereka beraksi di Pasir Gudang dan rindu yang disimpan dari tahun 2016 itu dilempiaskan dalam sebuah konsert yang dinamakan Slam Mentari Muncul Lagi.
Signifikan dengan tajuk yang diletakkan untuk konsert yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, venue yang dihadiri oleh sekitar 1,500 peminat berat Slam itu digemakan dengan lagu-lagu popular serta malar segar kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1991 itu.
Kumpulan pop terkenal ini muncul sebagai satu entiti yang segar dalam susunan muzik dan bertenaga membawakan lagu-lagu melankoli dan menangkap hati.
Tidak terlepas satu baris bait pun nyanyian peminat kerana lagu-lagu Slam cukup mesra di telinga semua.
Itu kekuatan yang sentiasa ada buat kumpulan yang dianggotai oleh Shah, Zamani, Eddie, Lili dan Man ini.
Kejituan muzik malam tersebut ditambah lagi dengan kehadiran Paang dan Syafiq selaku pemuzik undangan.
Buat Slam ini sebuah kelegaan, awalnya konsert ini ditunda dan itu sudah ketentuan suratan. Namun kasih sayang serta kerinduan antara peminat kembali terjalin dengan persembahan bertenaga mereka hampir dua jam persembahan.
Nyata energi kumpulan dan peminat bertimbal balik atas nama kembali merindu.
Zamani menyanyi dari hati hingga sampai ke hati peminat.
Lagu demi lagu, rasa demi rasa diberikan, dilontarkan merajai dan mewarnai sekitar dewan tersebut. Ada kalanya seperti terdiam peminat melihat lontaran vokal signature-nya itu tanpa mengah atau penat.
Bait-bait lirik Slam mampu membuatkan peminat berada di satu-satu keadaan atau momen tersendiri. Jiwa yang merasa akan terbawa kembali pada era jatuh cinta, putus cinta, ditinggalkan mahu pun bangkit kembali kerana cinta.
Tidak dapat dinafikan kenyataan itu. Ada yang memejam mata, berteleku, tersandar di kerusi sambil meresap dan menghadam kembali muzik beserta lirik yang mengena dengan jiwa dan perasaan zaman silam masing-masing.
Shah, Eddie, Man dan Lili yang mengendalikan instrumen masing-masing cukup handal di posisi masing-masing. Kita tahu lagu Slam itu malar segar dan melodinya cukup melekat.
Walau hanya berlatih secara intensif selama hampir dua minggu, 10 jam sehari, kekangan itu tidak nampak dek visual mata dan pendengaran malam tersebut.
Tugasan anggota-anggota Slam bersenjatakan instrumen ini cukup matang dan melekat buat menyegarkan susunan dan muzik Slam itu sendiri.
Membuktikan bahawa Slam bergerak bersama waktu, memberi kesegaran dalam muzik mereka yang cukup dekat dengan jiwa peminat.
Untaian 17 buah lagu-lagu handal seperti Buat Seorang Kekasih, Suratan, Kembali Merindu, Kembali Terjalin, Nurkasih hinggalah ke lagu terakhir persembahan iaitu Mentari Muncul Lagi dibawakan dengan enak dan mantap oleh Slam.
Apa lagi yang hendak diperkatakan tentang Slam?
Kilas balik di tarikh 3 Ogos 1996 sewaktu Malaysia dilanda insiden kegelapan gara-gara putus bekalan elektrik, Slam muncul sebagai juara menerangi Stadium Negara, Kuala Lumpur membawakan Konsert Grand Slam Unplugged.
26 tahun kemudian (di tahun 2022), merekalah pembuka industri muzik dan jalan buat konsert berskala besar, membawa mesej pasti … mentari muncul lagi untuk kita semua.
Slam, anda catat sejarah s