Slam berlatih 10 jam sehari demi konsert Mentari Muncul Lagi malam ini
Gempak
Februari 12, 2022 12:26 MYT
Februari 12, 2022 12:26 MYT
KUMPULAN Slam dianggotai Zamani, Shah, Eddie, Lili dan Man berharap agar peminat yang hadir ke Konsert Slam Mentari Muncul Lagi di Plenary Hall, KLCC hari ini supaya mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Zamani ketika ditemui pada sesi latihan pada Rabu lalu, yakin para peminat memahami keadaan sekarang dengan kes harian COVID-19 yang semakin meningkat.
“Mungkin ada yang cakap, COVID-19 makin tinggi pun masih nak buat konsert.
"Konsert ini dijalankan dengan kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan saya percaya pihak penganjur juga sudah maklum dengan SOP dan sebagainya.
“Para peminat Slam juga sudah pasti maklum mengenai keadaan sekarang dan akan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Kepada para peminat yang akan hadir konsert pada Sabtu ini, kami harap dapat memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga jarak sepanjang konsert berlangsung.
"Kalau perlu, buat ujian calitan kendiri di rumah, itu lebih baik.
“Selesai konsert, pulang ke rumah dan terus bersihkan diri. Insya-Allah kita buat yang terbaik untuk mencegah jangkitan virus ini,” katanya.
Mengulas mengenai sesi latihan menjelang konsert, Slam berkata disebabkan masa yang agak suntuk mereka mengambil masa sehingga 10 jam sehari.
“Sesi latihan kami sebenarnya dilakukan sebanyak dua sesi sehari, lima jam pada waktu pagi dan sambung semula lima jam lagi pada waktu petang.
“Setakat ini kesihatan kami semua juga agak baik dan Zamani juga nampak sihat dan teruja untuk bertemu peminat Slam pada Sabtu ini,” kata Shah.
Sementara itu Zamani pula tidak mahu keadaan kesihatan dirinya menjadi penghalang untuk memberi persembahan bertenaga kepada peminat yang hadir.
“Kalau boleh, saya tidak mahu bercakap mengenai masalah kesihatan dan hanya memberi fokus sepenuhnya untuk menjayakan konsert itu nanti.
“Saya juga tidak mahu isu kesihatan menjadi kekangan buat saya menjayakan konsert. Setakat ini keadaan kesihatan saya dalam keadaan baik.
“Lagipun selepas setahun tertangguh akibat penularan virus Covid-19, saya harap konsert ini akan berjalan lancar,” katanya.
Tambah Zamani lagi, Slam sudah tidak sabar untuk menggamit semula nostalgia peminat menerusi seleksi lagu popular Slam.
Konsert tersebut akan bermula pada jam 8.30 malam ini dan memuatkan 50 peratus kapasiti dewan.
Pada awalnya, konsert berkenaan dijadualkan berlangsung pada 17 Januari lalu, namun terpaksa ditunda setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali diperketatkan.
Kali terakhir Slam mengadakan konsert berskala besar adalah pada 9 September 2016 di Pasir Gudang, Johor.
*Artikel asal di Gempak