'Skyfall' filem terbaik James Bond?
Roshdi Lidun
November 6, 2012 12:50 MYT
November 6, 2012 12:50 MYT
'Skyfall' filem terbaik Bond?
Mengambil serangkap ayat daripada lirik lagu kumpulan Depeche Mode, ‘Skyfall’ sememangya sarat dengan kematian.
Kematian juga yang menghiasi plot filem ini yang memasuki angka ke 23.
Namun edisi kali ini jauh dari menghampakan, apatah lagi dianggap “mati’.
Tidak salah jika dikatakan ‘Skyfall’ adalah antara filem terbaik kisah penyiasat badan risikan Britain atau M16 sepanjang 50 tahun pembikinannya.
Penampilan Daniel Craig mengukuhkan lagi jalan cerita dengan plot yang berlainan daripada filem-filem sebelum ini.
Dari Tuxedo ke lokasi eksotik hinggalah gadis manis Bond, semuanya ada.
Pastinya runut bunyi yang dialunkan penyanyi bersuara serak basah Adele melengkapi perjalanan ‘ Skyfall’.
Plot yang menjurus kepada keganasan juga dibuat secara halus, dengan watak jahat kali ini dilahirkan oleh badan perisikan M16 sendiri.
“Skyfall” juga selesa dengan sentuhan sutradara Sam Mendes yang cuba menghidupkan semula watak ejen 007 yang semakin ‘mati’ akibat beberapa jalan cerita yang membosankan dan klise sebelum ini.
Penonton pastinya teruja apabila di bawa ke lokasi penggambaran dari ibu pejabat M16 di London, hinggalah ke bangunan tinggi di Shanghai, sebelum singgah di bumi Scotland.
Kesan lakon layar menarik yang dipikul oleh Roger Deakins.
Bond juga tidak dipaparkan sekadar hero terakhir di muka bumi, tetapi dibongkarkan juga sisi lemahnya selain adunan emosi yang diselang-selikan dalam babak-babak tertentu.
Ini diperkuatkan lagi dengan sokongan 2 watak utama iaitu M peneraju M16, lakonan Judi Dench dan Silva si penjahat tegar lakonan Javier Bardem.
Tanpa pengisian jiwa kepada watak ini-watak ini, 'Skyfall' akan kaku dan tidak akan dapat menyelamatkan jalan cerita yang sudah boleh di duga, perjuangan baik melawan jahat.
'Skyfall' telah mula ditayangkan sejak 1 November lalu di Malaysia dan bakal menguji pasaran Amerika Utara minggu ini.
Anda telah menonton ‘Skyfall”? Berkongsi reviu peribadi anda bersama kami.