Skil dibandingkan, Chef Wan tak dengki dengan pencapaian Khairul Aming
Gempak
September 24, 2024 19:10 MYT
September 24, 2024 19:10 MYT
CHEF selebriti Datuk Chef Wan menzahirkan rasa kurang senang apabila ada segelintir pihak yang membandingkan dirinya dengan pempengaruh terkenal Khairul Aming.
Perbandingan Sia-Sia
Menerusi perkongsian di Instagram, Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail menyatakan perbandingan tersebut adalah sia-sia dan tidak sewajarnya dilakukan kerana mereka memiliki latar belakang yang berbeza.
“Buat apa kita nak banding-bandingkan pengalaman dan pencapaian masing-masing.
“Apatah lagi untuk menghabiskan semua masa yang positif dan berharga untuk menghasut orang lain untuk mengumpat dan mengata di media sosial.
“Kenapa nak banding sedangkan kami mempunyai kerjaya dan pengalaman yang berbeza?” katanya.
Tambah Chef Wan lagi,dia tidak terkesan andai sumbangannya tidak dihargai oleh orang ramai.
“Selepas 34 tahun kerjaya saya di televisyen dan sumbangan saya kepada negara, jika mereka tak nampak pun, tak berkudis badan saya.
“Ingat, kita semua ada momen sendiri dalam kehidupan, saya pula sudah jauh perjalanan hidup dan luas pandangan.
“Atuk dah pencen nak! Saya selesa dengan keadaan saya dan nikmati hari pencen saya. Selepas lalui perjalanan yang sangat panjang, mencabar dan memenatkan.
“Jika orang berjaya pun kita mesti iringi dengan doa yang baik-baik untuk mereka. Dia juga menjadi sumber inspirasi kepada saya dan seluruh rakyat Malaysia berbangga. Alhamdulillah,” ujarnya.
Terdahulu, terdapat segelintir pihak yang membandingkan pencapaian serta ‘skill’ masakan Chef Wan dengan Khairul Aming susulan pempengaruh berkenaan menerima kunjungan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon. -- Gempak