SK20: Dua dekad pemergian si genius filem

Israr Khalid
Mac 6, 2019 07:39 MYT
Stanley Kubrick ketika muda merakam gambar menggunakan kamera Arriflex - Gambar The Stanley Kubrick Archive oleh Alison Castle, 2016.
"MENGATAKAN pada saya untuk bercuti daripada membikin filem seperti memberitahu seorang kanak-kanak untuk bercuti daripada bermain." - Stanley Kubrick, 1972 (kepada Paul D. Zimmermann/Newsweek).
Beliau hanya seorang anak muda biasa yang dilahirkan di The Bronx, New York. Namun, dia miliki impian besar. Dengan kamera di tangan dan idea di kepala, Stanley Kubrick mula bercerita tentang perihal masyarakat menerusi gambar-gambarnya.
Dilahirkan pada 26 Julai 1928, Kubrick mula menjadi tukang cerita apabila dia mendapat hadiah sebuah kamera. Minat yang begitu mendalam terhadap fotografi, Kubrick meneruskan perjalanan kariernya dengan menjadi jurugambar sebuah majalah dwi-mingguan, Look. Bersama majalah itu, Kubrick menyerlahkan bakat uniknya menerusi foto esei berkisarkan kehidupan warga kota New York.
Lima tahun kemudian, Kubrick meninggalkan majalah tersebut untuk mula membikin filem. Pada 1950, Kubrick menghasilkan filem pertamanya berdurasi 15 minit tentang persiapan seorang petinju bertajuk ‘Day of the Fight.’ Seterusnya adalah sejarah.
Kubrick dianggap antara pembikin filem terhebat dan paling berpengaruh sepanjang zaman. Walaupun filemnya bukanlah bertaraf pecah panggung, namun idea yang dibawa dalam setiap karyanya, juga metod pembikinannya, disifatkan luar biasa dan melangkaui zaman.
Selain memiliki kemahiran membawa audiens melihat sisi lain dalam sesebuah subjek yang diketengahkan, Kubrick juga pakar dalam ‘senjata’ yang digunakannya, iaitu kamera. Pendek kata, Stanley Kubrick adalah seorang pembikin filem yang memahami apa itu GAMBAR.
Pada tarikh hari ini, 7 Mac, genap 20 tahun pemergian manusia 'perfectionist' ini. Selain daripada menonton filem-filemnya yang 'terlalu berat', ayuh kita cuba selami pemikirannya menerusi baris kata-kata pujangga si genius filem ini:
1. “Saya rasa kesilapan terbesar di sekolah adalah cuba mengajar anak-anak apa sahaja, dan menggunakan ketakutan sebagai motivasi asas. Takut untuk gagal, takut untuk tidak berada di dalam kelas, dan sebagainya. Minat, seperti juga takut, boleh menghasilkan pembelajaran, sebagaimana letupan nuklear boleh menghasilkan mercun.”
2. “Kehidupan yang amat tidak bermakna memaksa manusia mencipta maknanya sendiri.”
3. “Jangan sesekali menghampiri kuasa. Jangan berkawan dengan seseorang yang mempunyai kuasa mutlak. Ia bahaya.”
4. “Sedahsyat mana pun kegelapan itu, kita mesti menghasilkan cahaya sendiri.”
5. “Jika ia boleh ditulis, atau difikir, ia boleh difilemkan.”
6. “Sebuah filem adalah - atau sepatutnya - lebih kepada muzik, daripada fiksyen. Ia sepatutnya menjadi satu peningkatan mood dan perasaan. Temanya, apa di sebalik emosinya. Maknanya, itu semua akan menyusul.”
7. “Pemerhatian adalah satu seni yang semakin mati.”
8. “Si mati hanya tahu satu perkara, iaitu hidup adalah lebih baik.”
9. “Mungkin bunyinya merepek, tapi perkara terbaik pembikin filem muda patut lakukan adalah memegang kamera dan hasilkan apa sahaja jenis filem.”
10. “Skrin adalah satu medium ajaib. Ia memiliki kuasa yang boleh mengekalkan keinginan memandangkan ia memaparkan emosi dan mood yang tidak dapat ditandingi sebarang bentuk seni lain.”
11. “Buku juga boleh menjadi topi.”
12. “Apabila seorang lelaki tidak boleh memilih, tiada gunanya menjadi lelaki.”
13. “Jangan pernah sesekali katakan tidak pada sebuah idea - anda tidak tahu bagaimana idea itu akan mencetuskan idea lain.”
14. “Kebenaran dalam sesuatu adalah pada rasanya, bukan pada pemikirannya.”
15. “"Saya tak pernah belajar apa-apa di sekolah dan tidak pernah membaca buku untuk berseronok sehingga saya berumur 19 tahun."
16. “Saya jarang mengetahui apa yang saya mahu, tetapi saya tahu apa yang saya tidak mahu.”
17. “Negara-negara besar sentiasa berlagak seperti gengster, dan negara-negara kecil seperti pelacur.”
18. “Jika catur ada sebarang hubung kait dengan pembikinan filem, ia mungkin dalam cara ia membantu anda membina kesabaran dan disiplin dalam memilih alternatif pada satu-satu masa apabila satu keputusan impulsif nampak seperti sangat menarik.”
19. “Seorang pembikin filem memiliki kebebasan hampir sama seperti yang dimiliki seorang penulis novel apabila dia membeli beberapa keping kertas.”
20. “Jika anda boleh bercakap dengan begitu hebat tentang sebuah masalah, ia boleh mencipta ilusi yang menyenangkan bahawa ia sudah dikuasai.”
#filem #fotografi #Gambar #kata pujangga #quote #Seni #SK20 #Stanley Kubrick
;