'Sitism' terjemah karakter, kematangan Siti Nurhaliza dalam seni suara

Astro Awani
Julai 3, 2023 09:30 MYT
Album ke-20 Datuk Seri Siti Nurhaliza bertajuk Sitism menterjemahkan segenap sudut perkembangan kerjaya seni penyanyi itu yang sudah berusia 27 tahun.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza antara selebriti tempatan yang sangat konsisten dalam berkarya.
Semuanya kerana kecintaan penghibur masyhur itu pada bidang nyanyian masih kekal utuh di sebalik kesibukannya menguruskan rumah tangga dan perniagaan lain yang diceburinya.
Gelanggang seni suara disedari ramai diletakkan Siti Nurhaliza di tangga teratas dalam kerjaya seninya.
Justeru, tidak hairan kenapa beliau dan pengurusannya sentiasa memikirkan idea-idea baharu untuk diterjemahkan dalam karya-karya seninya.
Terbaharu, Siti Nurhaliza memilih melancarkan album terbaharunya bertajuk, Sitism pada 30 Jun lalu.
Biarpun baru beberapa hari dilancarkan di platform digital, namun, keterujaan peminat-peminat setianya terhadap album berkenaan dapat dilihat menerusi perkongsian di media sosial.
Siti Nurhaliza bertuah kerana sokongan tidak berbelah bagi daripada peminat-peminatnya sentiasa memastikan semua karyanya berjaya di pasaran.
Astro AWANI difahamkan, Sitism yang mengandungi lapan buah lagu itu dilancarkan secara digital terlebih dahulu sebelum kemunculan album penuh atau ‘deluxe album’ sebanyak 12 lagu di dalam format digital dan fizikal.
Bukan hanya peminat setia, bahkan, seniwati kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu juga begitu teruja dengan kelahiran Sitism.
Kata Siti Nurhaliza, pemilihan tajuk Sitism dibuat menerusi gabungan namanya dan imbuhan 'ism' merujuk kepada istilah linguistik yang digunakan untuk membentuk kata nama bagi melambangkan kualiti, keadaan, ideologi atau hala tuju album.
Apabila nama Siti dan imbuhan `ism’ ini digabungkan, Sitism membentuk kata nama yang mewakili ciri-ciri tertentu yang ada di dalam album solo ke-20 beliau.
Bahkan Sitism sangat bertepatan sebagai judul album kerana selama lebih 27 tahun bergiat dalam industri muzik, beliau sudah menghidupkan jenama Siti Nurhaliza dengan ciri beliau yang tersendiri.
"Album Sitism adalah diri saya yang tersendiri seiring dengan peredaran masa dan perkembangan muzik yang dipaparkan menerusi muzik, lirik, imej serta persembahan saya," katanya.
Menurut penyanyi yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu, fokus utama Sitism adalah bagi membolehkan peminat dapat mendengar lapan buah lagu terlebih dahulu sebelum penambahan empat buah lagu lagi dalam bentuk fizikal selain digital kelak.
Setelah berjaya dengan single pertama Menjaga Cintamu yang dilancarkan pada 18 Mei 2023, menerusi album ini, Siti mempertaruhkan lagu berentak rock balada ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Rozisangdewi yang berjudul Romansa Kita.
Selain Romansa Kita, antara lagu lain yang terdapat di dalam album ini ialah Menyapa Dunia (Melly Goeslaw/Melly Goeslaw), Tanpa Diri-Mu (Luca Sickta/Luca Sickta & Siti Nurhaliza), Sehebat Matahari (Aubrey Suwito/Rozisangdewi), Ganti (Mingaling & Nuha Nik/ Amir Hasan & Nuha Nik), Teratas (Tomok & Rudy Nastia/Fedtri Yahya), Menjaga Cintamu (Andi Rianto/Sekar Ayu Asmara) dan Magis (Mas Dewangga & Jova Devito/ Mas Dewangga & Jova Devito & Aden King).
Album Sitism diterbitkan oleh Universal Music dan Siti Nurhaliza Productions boleh didapati di pelantar digital.
Album penuh dijangka berada di pasaran pada awal Ogos nanti.
#Siti Nurhaliza #Sitism #album baharu Siti Nurhaliza #Menyapa Dunia
;