Sitilah 'lentera'

Syazwan Zakariah
September 21, 2013 09:30 MYT
Sebenarnya saya sudah habis kata-kata pujian untuk Datuk Siti Nurhaliza.
Namun, saya sangat setuju bila ada orang kata, dengarlah dia menyanyi beribu kali pun, kita akan tetap terpesona dan tidak pernah jemu.
Saya tidak tahu bagaimana bunyinya buluh perindu, tetapi jika saya boleh mencari definisinya sendiri, buluh perindu itulah suara Siti.
Menerusi Konsert Lentera Timur, Siti membuktikan sekali lagi keampuhannya sebagai penyanyi yang bukan sekadar mengalunkan lagu, tetapi penghibur sejati.
Julai lalu, isteri kepada usahawan Datuk Khalid Jiwa ini melunaskan impiannya untuk mengadakan konsert solo di pentas berprestij Dewan Filharmonik Petronas, KLCC diiringi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
Selang dua bulan, selama empat malam sehingga 24 September ini, Siti menunaikan satu lagi hasratnya.
Dia menginginkan sebuah konsert tradisional sepenuhnya dan di Istana Budaya, hajatnya itu direalisasikan. Kali ini, dia diiringi Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) di bawah pimpinan konduktor Mohd. Yazid Zakaria.
Tiga hari sebelum Konsert Lentera Timur berlangsung, Siti diberitakan sakit tekak dan batuk-batuk.
Bagaimanapun, gangguan kesihatan penyanyi berusia 34 tahun ini tidak langsung terlihat atau terdengar menerusi nyanyiannya.
Tirai persembahan dibuka dengan medley Sedayung Makyung dan Ala Donde – satu percubaan yang berani. Berlatih Makyung dalam tempoh yang singkat, Siti membuktikan dia mampu melakukan apa saja atas nama seni.
Pentas kemudian dilimpahi cahaya menerusi lagu Nirmala dan Kurik Kundi, rangkaian lagu pembukaan yang memerlukan dia mempunyai stamina yang cukup untuk melakukan segala langkah koreografi seraya menyanyi.
Hanya apabila Siti mula berbicara menyapa audien, terdengar suaranya sedikit serak. Tetapi, kalau sudah Tuhan menciptakan dia sebagai penyanyi, satu demi satu lagu dibawakan tanpa cela.
Sesusah mana pun lenggoknya, setinggi mana pun nadanya, alunannya tetap ‘licin’, sambil wajah mengukir senyum seperti tiada bebanan di bahu.
Siti bukan sekadar melontarkan vokal emasnya, malah kelihatan seronok berpesta di pentas. Bersyair dan berseloka, sesekali dia mengusik penonton.
Pada usia yang hampir sebaya dengan Siti, saya ‘membesar’ bersamanya. Persembahannya, baik yang berskala mega mahupun kecil, saya sering mengikuti.
Benar, saya sendiri peminat setia Siti, tetapi ulasan ini masih objektif, ya?
Pengalaman selama 18 tahun terbias pada komunikasi Siti yang semakin lancar dan bijak. Tutur katanya lebih spontan dan jujur, dia juga tidak ragu-ragu untuk bercakap tanpa terlalu terikat pada skrip.
Bersama kumpulan Dikir Arjuna Sukma, Siti berdikir dalam loghat Pahang bertarung dengan tukang karut Isey Fazlisham yang berdikir dalam bahasa Kelantan.
Jika itu tidak cukup, Siti turut mengundang Datuk M. Daud Kilau untuk berduet, di samping menyanyikan lagu ikonik Cek Mek Molek. Seperti ahli silap mata, Daud bertukar baju lima kali sepanjang 15 minit di berada di atas pentas.
Selain lagu seperti Cindai, Damak dan Bahtera Merdeka, Siti juga banyak membawakan lagu secara medley, antara lain Balqis dan Ya Maulai, Bunga Melor dan Mahligai Permata serta Bulan Yang Mesra, Empat Dara dan Hati Kama.
Saya sendiri seperti ‘patah hati’ apabila mendengar Siti mengalunkan lagu Patah Hati dengan begitu mendayu. Saya juga tersenyum lebar apabila lagu pop kegemaran saya, Biarlah Rahsia digubah susunannya menjadi irama tradisional.
Bagaimanapun, pada malam pertama persembahan, terdapat sedikit gangguan audio. Fokus penonton ‘lari’ untuk beberapa minit, apabila bunyi bingit terhasil ketika segmen Siti dan para penari berlakon mengikut jalan cerita lagu.
Konsert ditutup dengan single terbaru Siti berjudul Popaleh Weh, menampilkan variasi tarian terutamanya zapin. Seronoknya mereka di atas pentas, sehinggakan seorang wartawan berkata, “macam filem Bollywood pun ada!”.
Siti bukan saja membuatkan peminatnya jatuh cinta semula dengan lagu-lagu asli dan irama warisan, tetapi sekurang-kurangnya mengenali apa itu rebab, gambus, sape, erhu, yang qin, rebana, geduk, harmonium, sitar, tabla dan serunai.
Malah, dia juga mencuba bakatnya untuk mengetuk bonang gamelan.
Sebenarnya, saya sudah habis kata-kata pujian untuk Siti.
Namun, saya mohon agar Siti terus menyanyi kerana dialah ‘lentera’ industri muzik Malaysia. Agar ‘cahaya’ suaranya terus menyinari hati penggemarnya, juga membuatkan kami berbangga kerana Siti insan seni serba upaya.
#konsert lentera timur #Siti Nurhaliza
;