Siti Saleha tak tolak ada anak dalam masa terdekat

Gempak
Mac 11, 2018 12:40 MYT
Alhamdulillah segalanya baik-baik sahaja selepas saya berumah tangga dan kehidupan semakin bahagia. - Foto Instagram @sallywho
PELAKON Siti Saleha mengakui dirinya tidak menolak untuk mempunyai zuriat dalam masa terdekat ini setelah hampir lapan bulan mendirikan rumah tangga.
Menurut Saleha, dia dan suaminya, Ahmad Lutfi Azhar berserah perkara itu kepada rezeki dan memohon orang ramai supaya mendoakan yang terbaik untuk dirinya.
"Alhamdulillah segalanya baik-baik sahaja selepas saya berumah tangga dan kehidupan semakin bahagia.
"Bercerita mengenai anak saya serta suami tidak menolak untuk mempunyai zuriat dalam masa terdekat dan segalanya bergantung pada rezeki.
"Saya tidak pernah merancang untuk mempunyai anak, jika rezeki itu datang cepat saya dan suami terima dengan hati yang terbuka," katanya kepada Astro Gempak.
Siti Saleha berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur (BAS KL) di Galeri Seni Kebangsaan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis itu, Siti Saleha telah diumumkan sebagai duta BAS KL pada kali ini untuk menarik minat orang ramai untuk menerokai seni budaya yang ada di Kuala Lumpur.
BAS KL ialah kempen cuti sekolah yang ingin memberi peluang kepada keluarga dan individu yang berkelapangan untuk menikmati acara kesenian sempena cuti sekolah yang bakal berlangsung pada 17 MAc hingga 1 April tahun ini.
Sepanjang kempen BAS KL berlangsung, orang ramai yang berminat untuk meneroka kempen ini boleh mendapatkan pasport digital dengan mengimbas kod QR yang disediakan di mana-mana 14 lokasi tarikan kebudayaan yang terlibat dalam kempen tersebut.
Antara lokasi yang dimaksudkan ialah Galeri Ilham, Muzium dan Galeri Bank Negara Malaysia, R!UH dan Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur.
#Ahmad Lutfi Azhar #bahagia #rezeki #Rumah Tangga #Siti Saleha #zuriat
;