Siti Nurhaliza tidak sempat rakam lagu duet dengan Glenn Fredly

Gempak
April 9, 2020 12:00 MYT
Siti Nurahaliza berkongsi foto kenangan beliau dengan mendiang Glenn Fredly. - Gambar Instagram SITI NURHALIZA
HAJAT penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza untuk berkolaborasi dengan mendiang Glenn Fredly tidak kesampaian apabila penyanyi itu menghembuskan nafas terakhir pada petang Rabu.
Perkara itu dikongsi penyanyi nombor satu negara itu di Instagram Stories malam tadi.
"Saya sempat bertemu beliau sewaktu konsert tour di Jakarta. Kita berbincang mahu duet dan kolaborasi lagu. Seorang yang punya nilai peribadi yang baik dan rasa hormat yang tinggi," tulis Siti Nurhaliza.
Dalam catatan itu, penghibur yang disenangi di Malaysia dan Indonesia itu mengakui, Glenn merupakan antara penyanyi lelaki yang diminati sejak dahulu.
"Salah seorang penyanyi yang saya hormati dan minati dulu dan kini telah pergi meninggalkan kita semua.
"Salam takziah dan semoga keluarga terus tabah," tambah Siti Nurhaliza lagi.
Glenn sebelum ini pernah menghasilkan lagu buat Siti Nurhaliza berjudul Bila Harus Memilih yang dimuatkan dalam album Transkripsi (2006).
Mendiang Glenn yang popular dengan lagu Januari itu meninggal dunia akibat radang otak pada Rabu.
Glenn, 45, meninggalkan seorang isteri Mutia Ayu dan seorang anak perempuan Gewa Atlana Syamayim Latuihamallo yang berusia 40 hari.
Mendiang memulakan kerjaya sebagai anak seni secara profesional pada tahun 1995 selepas memenangi sebuah pertandingan nyanyian.
Glenn mencipta nama di Malaysia menerusi lagu Januari, Adu Rayu, Sekali Ini Saja dan Akhir Cerita.
BACA: Penyanyi lagu 'Januari' Glenn Fredly meninggal dunia
BACA: "Tidak perlu hadir pengebumian" - Permintaan keluarga Glenn Fredly
#Bila Harus Memilih #glenn fredly #Januari #meninggal dunia #penyanyi #radang otak #Siti Nurhaliza
;