Siti Nurhaliza terharu disenarai sebagai selebriti berpengaruh Forbes
Saharudin Musthafa
Disember 9, 2020 22:11 MYT
Disember 9, 2020 22:11 MYT
KUALA LUMPUR: Kediaman Datuk Seri Siti Nurhaliza di Bukit Antarabangsa, di sini tidak pernah sunyi daripada menerima kiriman pelbagai jenis makanan.
Hampir setiap hari, ada sahaja pelbagai makanan termasuk lauk-pauk, kuih-muih, serta kiriman lain diterima penyanyi nombor satu negara itu.
Semuanya pemberian peminat-peminat serta kenalannya.
Adat orang memberi, Siti Nurhaliza ada cara untuk menyatakan rasa terima kasih atas kiriman yang datang sejauh dari utara hinggalah ke selatan tanah air.
Pendekatan mempromosi segala jenis pemberian itu di Instagram Stories (IGs) beliau yang diikuti oleh hampir lapan juta peminatnya dengan percuma dan bersungguh-sungguh adalah terjemahan kasih dan sayang buah hati kesayangan Malaysia itu kepada kiriman-kiriman berkenaan.
Buktinya, sepanjang kerajaan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu sehingga ke hari ini, Siti Nurhaliza meluangkan jadual padatnya dengan membantu ‘memasarkan’ juadah-juadah yang diterimanya di akaun media sosialnya.
Siti Nurhaliza tidak pernah lelah, jauh sekali untuk merungut atau marah hanya kerana melakukan kerja-kerja promosi itu.
Sebaliknya, penghibur yang bakal menginjak usia 42 tahun pada 11 Januari depan itu menyifatkan, apa yang dilakukannya itu adalah cara untuk merakamkan rasa syukur dengan nikmat yang Allah kurniakan kepadanya.
Jauh lebih utama, seniwati itu mahu merebut peluang dan manfaat yang ada di sosial media untuk kebaikan bersama masyarakat.
Ketika pandemik COVID-19 menjejaskan hampir keseluruhan sistem kehidupan manusia di sebilangan besar di dunia khususnya rakyat Malaysia, Siti Nurhaliza sentiasa merenung dan memikirkan apakah cara terbaik untuk beliau membantu golongan yang terjejas.
Kata Siti Nurhaliza, hati kecilnya sering terusik bila mendengar ada sejumlah rakyat Malaysia yang bukan sahaja kehilangan kerja dan pendapatan, bahkan kesihatan dan nyawa segelintir juga diragut.
“Saya sentiasa percaya bahawa membantu orang lain memperoleh rezeki dan kebahagiaan adalah tanggungjawab kita bersama, bukan hanya kerja artis, orang politik, tokoh korporat, bahkan setiap individu punya peranan yang sama.
“Hati siapa yang tidak terusik bila melihat ada orang terpaksa melalui kehidupan yang sulit, perniagaan terjejas, hilang kerja sedangkan di rumah ada isteri dan anak-anak yang perut mereka harus diisi.
“Bertitik tolak dari situ, saya membuka ruang kepada peniaga-peniaga di luar sana, jika mahu saya bantu promosikan perniagaan mereka, jangan segan, jangan silu untuk menggunakan khidmat saya,” kata Siti Nurhaliza dalam temu bual dengan Astro AWANI pada Rabu.
Ketika kerja-kerja sukarela itu dilakukan, tidak pula terlintas di fikiran Siti Nurhaliza yang kini sedang hamil anak kedua bahawa jariahnya itu sebetulnya diperhatikan oleh masyarakat.
Sebilangan besar daripada rakyat Malaysia sebetulnya berkongsi rasa kebanggaan mereka serta kesyukuran bahawa insiatifnya itu adalah sebaik-sebaik amalan yang akan menjadi bekalannya kelak.
Bahkan, apabila namanya disenaraikan oleh Forbes Asia sebagai antara 100 selebriti paling berpengaruh di media sosial peringkat Asia Pasifik yang diukur berdasarkan peranan beliau membantu masyarakat ketika pandemik COVID-19, Siti Nurhaliza hanya menyambut dengan penuh kesyukuran.
Usaha murni Siti Nurhaliza mencetus kesedaran serta menggunakan kedudukannya sebagai orang ternama membantu mempromosi makanan serta restoran melalui akaun media sosial dibalas dengan pengiktirafan.
Sejujurnya, anak seni kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu tidak pernah mendambakan sebarang perhatian atau publisiti melalui kerja-kerja sukarela itu kerana memahami, tiada keperluan atau keutamaan.
Apa lagi beliau sentiasa yakin dengan rahmat dengan kebesaran Allah yang menjanjikan tidak putus rezeki seseorang itu sekiranya sentiasa melakukan kebaikan.
“Saya amat bahagia sekali bila mendapat tahu makanan jualan peniaga yang saya promosikan meningkat dan tidak menang tangan menerima tempahan. Itu adalah kegembiraan yang sukar saya terjemahkan dengan kata-kata,” kata Siti Nurhaliza dalam nada sebak.
Memahami bahawa beliau dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa serta penghuni lain di kediaman mereka tidak berupaya untuk menghabiskan segala juadah yang diterima, penyanyi itu turut berkongsi rezeki dengan orang lain.
Saudara mara dan kenalan yang tinggal berdekatan dengan kediamannya sentiasa menerima buah tangan daripada Siti Nurhaliza.
Cara itu, ujarnya, turut membuka ruang pemasaran yang lebih besar kepada peniaga-peniaga yang sering mengirim makanan kepada beliau dan keluarganya.
“Saya sentiasa percaya rezeki harus dikongsi. Terima kasih kepada yang sentiasa mengirim makanan ke rumah saya. Makanan yang saya terima setiap hari banyak kuantitinya, tidak mampu saya habiskan lebih-lebih ketika hamil.
“Apa yang saya buat ialah berkongsi dengan saudara mara serta sahabat karib,” kata Siti Nurhaliza yang mengakui mencuba setiap jenis juadah yang diterimanya tanpa gagal.
Memahami bahawa rezeki tidak datang bergolek menyebabkan Siti Nurhaliza sentiasa meningatkan dirinya agar jangan sesekali membazir.
“Saya akan terus melakukan kerja-kerja ini selagi saya mampu. Kalau ada yang beranggapan ini sumbangan saya kepada masyarakat Alhamdulillah saya terima dengan penuh rasa syukur,” kata Siti Nurhaliza mengakhiri perbualan.