Siti Nurhaliza tangguh konsert, gantikan persembahan amal demi Palestin
Gempak
November 15, 2023 12:11 MYT
November 15, 2023 12:11 MYT
DEMI menghormati dan menjaga sensitiviti rakyat Palestin yang masih berdepan situasi perang menegangkan, Datuk Seri Siti Nurhaliza menangguhkan perancangan konsert berskala besar yang dijadualkan berlangsung Mac depan.
Siti sebaliknya mahu menggantikan konsert tersebut dengan sebuah persembahan amal sekali gus mengumpul dana untuk Palestin.
“Perancangan untuk konsert saya tangguhkan kerana kita berdepan dengan isu sensitif (perang di Palestin).
“Tapi saya bercadang untuk melakukan majlis amal di bawah yayasan saya, Yayasan Nurjiwa untuk mengutip dana dan sama-sama bersolidariti.
“Ini yang apa saya sedang fikirkan,” ujar Siti Nurhaliza yang ditemui selepas pelancaran BeauSiti memperkenalkan wajah baharu mereka, Rita Nadira di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur.
Pada masa sama, Siti diminta mengulas tindakan syarikat rakaman Universal Global yang seoleh menyokong Israel dan melabelkan Hamas sebagai penjahat menerusi hantaran di Instagram rasmi mereka baru-baru ini.
“Mereke level antarabangsa tidak sama dengan saya.
“Apa yang disuarakan oleh Universal Global tidak sama langsung dengan pendirian saya.
“Saya tetap dan akan terus bersama Palestin.
“Saya 100 peratus dengan Palestin dan ini yang saya perjuangkan sejak dulu sampai sekarang,” tegas Siti.
Penyanyi yang baru muncul dengan album Sitism itu juga menjelaskan dirinya tidak bernaung di bawah syarikat tersebut.
“Saya bukan artis mereka tetapi syarikat tersebut mengedarkan produk saya,” jelasnya.
Siti seterusnya menyeru rakyat Malaysia dan umat Islam agar terus berdoa dan tidak berhenti menghulurkan bantuan kepada saudara seIslam yang memerlukan.
“Saya difahamkan banyak bantuan yang tidak dan belum sampai kepada mereka. Jadi kita jangan putus memberi sokongan dan bantuan agar mampu meringankan beban saudara kita di sana,” katanya. - Sinar Harian