Siti Nurhaliza selamat lahirkan bayi lelaki

Nursyazwani Saiful Sham
April 19, 2021 08:50 MYT
Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Selangor pada jam 6.21 pagi tadi. -Instagram/asyrafkhalid
KUALA LUMPUR: Penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di Selangor pada jam 6.21 pagi tadi.
Menerusi satu kenyataan dalam Instagram rasminya, pihak pengurusan Siti Nurhaliza memaklumkan bayi seberat 3.84 kilogram itu dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.
"Siti dan bayi dalam keadaan baik dan sihat.
"Suami beliau, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana isteri tercinta selamat melahirkan bayi kedua mereka.
"Apa yang penting bagi Khalid adalah ibu dan anak berada dalam keadaan sihat, stabil dan proses melahirkan berjalan lancar," katanya.
Menerusi hantaran di Instagramnya, Siti Nurhaliza turut berkongsikan klip video yang memaparkan detik-detik manis sebelum melahirkan anak keduanya itu.
Lebih istimewa video tersebut turut menampilkan lagu dicipta khas Siti Nurhaliza untuk cahaya mata keduanya itu berjudul "Anakanda".
Dalam pada itu, Siti dan suaminya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak doktor dan jururawat yang diketuai oleh Dr Leong Wai Yew dari Alpha IVF & Women's Specialist yang menjalankan tanggungjawab dan khidmat terbaik sepanjang proses Siti melahirkan.
BACA: "Ya, saya hamil anak kedua, kandungan berusia empat bulan" - Siti Nurhaliza
"Pasangan ini juga berterima kasih kepada Pengasas dan Pengarah Alpha IVF & Women's Specialists, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo, yang menjayakan program In Vitro Fertilization (IVF) bagi kandungan Siti yang pertama iaitu Siti Aafiyah dan anak yang kedua ini juga.
"Kelahiran anak kedua pada bulan Ramadan penuh keberkatan ini diharapkan akan mengurniakan limpahan rezeki serta rahmat Allah SWT," ujarnya.
BACA: Hamil pada usia 40-an agak mencabar - Siti Nurhaliza
Terdahulu, Siti mengakui kehamilan keduanya ini agak mencabar kerana beliau sering kepenatan.
Bahkan, jelas penyanyi itu, emosinya juga mudah tersentuh lebih-lebih lagi ketika membaca hantaran-hantaran di media sosial yang menceritakan soal kemanusiaan, kesulitan hidup masyarakat serta cerita-cerita sedih lain.
Tahniah | Siti Nurhaliza selamat lahirkan bayi lelaki
#Siti Nurhaliza #bayi lelaki #selamat melahirkan #Khalid Mohamad Jiwa #Datuk K #Instagram #media sosial #emosi tersentuh
;