Siti Nurhaliza rakam semula lagu Teratai Menjelma nyanyian Sudirman dalam ManifestaSITI2020

Asyraf Roslan
Jun 23, 2020 14:26 MYT
ManifestaSITI2020 bakal menampilkan 11 buah lagu termasuk lagu Anta Permana, 7 Nasihat dan juga Basyirah lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik Ahmad Fedtri Yahya.
SELEPAS hampir empat tahun membiarkan peminat-peminatnya menanti buah tangan terbaharu, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin akhirnya meredakan keresahan itu.
Menjelang 3 Julai ini, buah hati kesayangan Malaysia itu bakal muncul dengan album terbaharu.
Dalam laman media sosial, SIti Nurhaliza mengumumkan album terbaharunya itu dinamakan sebagai ManifestaSITI2020.
ManifestaSITI2020 memuatkan 11 buah lagu termasuk lagu Anta Permana, 7 Nasihat dan single terbaharunya Basyirah ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik Ahmad Fedtri Yahya.
Apa yang paling istimewa dalam album kali ini juga, Siti Nurhaliza turut memberi nafas baru lagu nyanyian penghibur kesayangannya, Allahyarham Datuk Sudirman iaitu Teratai Menjelma.
Menurut pengurus penyanyi itu, Rozi Abdul Razak, lantaran genre pop sangat kental dan sebati dengan Siti Nurhaliza, maka konsep album ManifestaSITI2020 masih tidak lari daripada aliran berkenaan.

Sedari titik mula, ekspresi yang bertitik tiada.Berpijak langkah di jalan adanya, derapan terdengar membelah angkasa. 1996-2020. 24 tahun di dalam industri, penuh manisfestasi, mengalir tiada titik henti, mengukuhkan paksi, mengakar seutuh kersani.#ManifestaSITI2020 @RasafilmCo pic.twitter.com/XBlUmUGyO6

— Siti Nurhaliza (@CTNurhaliza11) June 23, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
'Untuk album ini, kita masih mengekalkan konsep pop tetapi akan ada satu lagu lama yang akan diberi nafas baharu" katanya merujuk pada lagu Teratai Menjelma kepada Astro AWANI ketika dihubungi.
Menurut Rozi, album ini merupakan terjemahan Siti Nurhaliza berhubung perjalanan kariernya menuju tahun 2020 yang sudah enam bulan berlalu.
"Ini adalah manifestasi Siti Nurhaliza sendiri, apa yang dia nak, apa yang dia ingin suarakan, apa yang dia ingin zahirkan jadi album ini adalah keseluruhan manifestasi untuk tahun 2020" tambahnya.
Antara komposer yang terlibat dalam album terbaharu ini ialah Hael Husaini, Ezra Kong, Ippo Hafiz, Melly Goeslaw, Aubrey Suwito dan juga Ryan Kyoto dari Indonesia.
Album terbaharu Siti Nurhaliza yang akan dilancarkan pada 3 Julai ini boleh didapati secara digital dan juga dalam talian.

ManifestaSITI2020. Idea yang diwujudkan. Pemikiran yang diperlihatkan. Perasaan yang dijelaskan. Pendirian yang dinyatakan. Keinginan yang dizahirkan. Album terbaharu @CTNurhaliza11 3 Julai 2020#ManifestaSITI2020 pic.twitter.com/B0vcZvsoXZ

— Siti Nurhaliza (@CTNurhaliza11) June 22, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#album baharu #Datuk Seri Siti Nurhaliza #Hael Husaini #ippo hafiz #ManifestaSITI2020 #Rozi Abd Razak #Sudirman #Teratai Menjelma
;