Siti Nurhaliza raih enam anugerah Joox, atasi Justin Bieber
Astro Awani
Januari 27, 2021 17:56 MYT
Januari 27, 2021 17:56 MYT
KUALA LUMPUR: Siapa kata artis Malaysia tidak dikenali di mata dunia? Jika ada yang masih mempunyai anggapan sedemikian, ternyata anda silap sama sekali!
Buktinya apabila artis-artis Malaysia berjaya meraih enam juta undian dalam kalangan peminat muzik seluruh dunia.
Jumlah itu 400 peratus lebih tinggi berbanding keputusan pertengahan tahun JOOX Malaysia Top Music Awards 2020.
Untuk makluman, JOOX merupakan platform muzik paling digemari di Asia telah membuka peluang kepada peminat muzik untuk mengundi dan menobatkan muzik dan artis kegemaran masing-masing.
Apa lagi yang menarik mengenai anugerah tersebut? Ini antaranya:
1. Penyanyi nombor satu tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza meraih enam anugerah, mengatasi penyanyi antarabangsa Justin Bieber dan BTS masing-masing memperolehi lima anugerah.
2. Selain Siti Nurhaliza, antara lima artis tempatan paling popular yang turut tersenarai dalam anugerah itu adalah Naim Daniel, Floor 88, Ukays dan YonnyBoii.
3. Lagu Janji dendangan Sufian Suhaimi, Peluang Kedua (Nabila Razali), Canggung dan Aku Bidadari Syurgamu (Siti Nurhaliza), Sembah (Naim Daniel dan Man Keedal) disenaraikan sebagai lima lagu hit tahun 2020.
4. Peringkat antarabangsa pula, Alan Walker, Andmesh, Ariana Grande, Justin Bieber dan Maroon 5 antara artis yang meraih undian tertinggi.
5. Tidak ketinggalan lagu paling hit kategori K-Pop menyenaraikan Any Song dendangan Zeco, Dynamite dan On (BTS), How You Like That (Blackpink) serta Wannabe (ITZY).
#Datuk Seri Siti Nurhaliza
#Justin Bieber
#BTS
#Maroon 5
#Joox Malaysia Top Music Award 2020
#industri muzik
#Kpop