Siti Nurhaliza pernah padam foto Aafiyah di IG kerana ...
Gempak
November 29, 2018 12:00 MYT
November 29, 2018 12:00 MYT
PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan pernah memadam foto anaknya, Siti Aafiyah yang telah dimuat naik di akaun Instagram (IG) selepas suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa merasakan ia tidak sesuai untuk dikongsikan.
Menurut Siti, dia perlu meminta pandangan dan izin suaminya terlebih dahulu sebelum berkongsi foto atau video Aafiyah di laman sosial.
“Sebenarnya, dulu pernahlah sekali saya padam gambar yang dah dikongsikan di Instagram kerana suami kata tak berapa sesuai untuk dikongsi.
“Jadi sebelum kongsi foto atau video Aafiyah, saya akan tunjuk pada Datuk K dahulu dan minta pandangannya, sama ada sesuai atau tidak.
“Kalau Datuk K rasa tak sesuai, dia akan beritahu dan tidak mengizinkannya untuk dimuat naik,” katanya kepada Gempak.
Siti ditemui ketika pelancaran SimplySiti Di Hati 2018 yang diadakan di PNB Perdana Hotel & Suites On The Park, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pelantun lagu Anta Permana itu berkata, dia dan suami tidak mahu Aafiyah terlalu diketengahkan dan didedahkan kepada umum.
“Saya dan suami tidak pernah terfikir untuk mengetengahkan Aafiyah kepada umum kerana dia pun masih kecil lagi.
“Sebab itu, buat masa ini tiada lagi akaun Instagram peribadi untuknya.
“Setakat ini, kami rasa tak perlu, tapi saya tak berani nak kata akan datang bagaimana,” katanya lagi.
Aafiyah dilahirkan pada 19 Mac lalu selepas pasangan itu menanti 11 tahun untuk menimang cahaya mata.