Siti Nurhaliza masih berahsia ...
Hafidah Samat
Oktober 13, 2017 17:35 MYT
Oktober 13, 2017 17:35 MYT
MALAM ini satu sidang media khas akan diadakan di kediaman penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.
Spekulasi sudah mula bertiup kencang sejak beberapa bulan lalu tentang beberapa persoalan termasuk perihal peribadi penyanyi kesayangan negara ini.
Mungkinkah Siti akan mendedahkan tentang perancangan kerjaya seninya, atau mengumumkan acara besar keluarga, ataupun mendedahkan sesuatu tentang dirinya dan suami tersayang, Datuk Seri Mohd Khalid Jiwa.
Pada Julai, Instagram Siti @CTDK mula dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada jutaan peminat yang memang sudah lama menunggu berita baik daripada beliau.
Semuanya bermula selepas Siti memuat naik gambar susu kambing dan kurma di akaun laman IG miliknya sebagai antara ramuan terbaik untuk wanita mengandung, justeru mencetus spekulasi Siti hamil.
Siti tidak memberi apa-apa reaksi, beliau mengambil sikap berdiam diri untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan tentang spekulasi itu.
Tidak beberapa lama kemudian, mula tular spekulasi tentang sampel darah milik individu terkemuka di hantar ke sebuah makmal patologi dan klinikal di Petaling Jaya baru-baru ini, individu itu dikatakan hamil antara beberapa minggu.
Sekali lagi, Siti tidak memberi apa-apa reaksi.
Namun, baru-baru ini Datuk K, dalam satu kenyataan kepada sebuah tabloid Bahasa Malaysia, Kosmo secara jujur meminta semua pihak untuk menghentikan spekulasi itu.
Umum mengetahui bahawa pasangan bahagia ini telah disatukan dalam ikatan pernikahan pada 21 Ogos 2006 dan sejak itu para peminat mereka sering ternanti-nanti akan pengumuman paling indah dalam hidup sebagai suami isteri, khususnya tentang zuriat.
Dalam satu temuramah bersama-sama Siti dalam program temu bual hiburan, Sembang Seni (terbitan Astro AWANI) tidak lama dahulu, penghibur bersuara emas ini pernah mendedahkan kerinduan beliau untuk mementaskan sebuah konsert solo.
Rindu untuk menghiburkan peminat kata Siti dalam temu ramah itu.
Kali terakhir, Siti mementaskan konsert ialah “Konsert Lentera Timur Dato’ Siti Nurhaliza yang diadakan selama empat malam (bukan berturut-turut) pada September 2013 di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
Mungkinkah ini agenda utama sidang media malam ini? Siapa tahu …
Umum turut mengetahui kisah percintaan anak Datuk Khalid, Adib dengan pelakon, Izara Aishah.
Selepas beberapa tahun bercinta, mereka berdua mengikat tali pertunangan awal Julai lalu.
Tarikh perkahwinan mereka belum didedahkan dan peminat-peminat masih menunggu bila mereka bakal menjejakkan kaki ke jinjang pelamin.
Jadi, mungkinkah ini salah satu agenda utama sidang media ini? Sekali lagi, tiada siapa yang mengetahui.
Sejak pembabitan lebih dua dekad lalu, Siti, pelantun lagu Biarlah Rahsia, Cindai, Purnama Merindu dan Bukan Cinta Biasa ini tidak pernah menghampakan.
Teka-teki bakal terjawab malam ini.
Nota: Astro AWANI akan membuat lintas langsung sidang media khas malam ini pada jam 9 malam. Platform Digital di www.astroawani.com dan Facebook 501 AWANI juga akan menyiarkan liputan langsung ini pada waktu yang sama.
#anak
#Datuk K
#Facebook
#hiburan
#Instagram
#Istana Budaya
#keluarga
#Kuala Lumpur
#Malaysia
#Mohamad Khalid Jiwa
#perkahwinan
#Siti Nurhaliza