Siti Nurhaliza mahu tambah anak pada 2019

Gempak
Disember 27, 2018 16:00 MYT
TAHUN 2019 bakal menyaksikan jadual Siti Nurhaliza padat dengan kerjaya seninya.
MUSTIKA hati rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyimpan hajat untuk menambah seorang lagi cahaya mata tahun hadapan.
Hasrat itu merupakan azam Tahun Baru 2019 yang akan membuka tirai beberapa hari sahaja lagi.
"Perancangannya masih sama. Daripada segi kerjaya saya mahukan album baharu tahun depan dan lebih banyak lagi persembahan di pentas baharu.
"Begitu juga bisnes SimplySiti dan Creacion semoga bertambah sukses. Menjadi ibu yang boleh mendidik anak saya dengan baik.
"Tentang tambah anak pula, mungkin apabila Siti Aafiyah sudah berusia dua tahun baru boleh pertimbangkan," katanya kepada Gempak.
Penantian 11 tahun penyanyi lagu Anta Permana itu dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa untuk menimang cahaya mata pertama termakbul apabila beliau melahirkan Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu.
Tahun 2018 juga memperlihatkan kecemerlangan buat penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu apabila beliau dianugerahkan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri pada Oktober lalu.
Sementara pada 2019, satu lagi sejarah akan dilakarnya apabila penyanyi nombor satu negara itu akan sekali lagi kembali ke Royal Albert Hall, London untuk mengadakan konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour pada 22 April.
Konsert Dato' Sri Siti Nurhaliza On Tour bakal bermula pada 21 Februari 2019 di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia dan diikuti di Singapore Expo, Singapura pada 21 Mac 2019.
Manakala peminat di Malaysia boleh menyaksikan konsert itu di Arena Axiata, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2019.
#anak #Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa #Indonesia #Jakarta #konsert #Kuala Lumpur #London #Pahang #Singapura #Siti Aafiyah #Siti Nurhaliza
;