Siti Nurhaliza mahu bangunkan galeri sendiri

Gempak
September 29, 2023 18:26 MYT
Dengan adanya galeri tersebut, peminat dan orang ramai dapat mengenali dirinya dan melihat perjalanan kerjaya nyanyian dengan lebih dekat. -Gempak
PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza merancang untuk mengelolakan galeri miliknya sendiri bagi mengabadikan ‘momento’ pencapaian dan hal-hal penting yang berkaitan dengan kerjaya seni sepanjang bergelar penyanyi.
Menurut Siti, sungguhpun sudah lama mencetuskan idea untuk membangunkan sebuah galeri, namun, masih tiada lagi perbincangan serius antara dirinya dan pihak pengurusan.
“Jujurnya, impian saya adalah untuk ada galeri sendiri dan idea ini sudah lama tercetus. Saya dah lama suarakan idea ini kepada Rozi, namun, masih belum ada perbincangan serius berlaku antara pihak pengurusan.
“Tambahan pula, lokasi bagi galeri yang saya impikan ini juga masih belum ditetapkan.
"Berkemungkinan ia akan dibangunkan di kampung saya iaitu di Kuala Lipis, Pahang atau di Kuala Lumpur sahaja,” katanya kepada Gempak.
Pelantun lagu Romansa Kita itu menambah, dengan adanya galeri tersebut, peminat dan orang ramai dapat mengenali dirinya dan melihat perjalanan kerjaya nyanyian dengan lebih dekat.
“Selain mengenali saya secara peribadi, mungkin dengan adanya galeri itu orang luar dapat melihat karier saya lebih dekat.
“Hal ini kerana, apa yang bakal dipamerkan di galeri berkenaan termasuklah fakta dan koleksi-koleksi barangan yang ada kaitan dengan kerjaya. Ia juga boleh dijadikan sebagai sumber rujukan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Siti menjelaskan yang dia ingin membangunkan galeri tersebut tanpa bergantung terhadap mana-mana pihak.
“Saya mahu bangunkan galeri tersebut sendiri, atas inisiatif sendiri. Jadi, ia akan menjadi perkara yang paling bermakna dalam hidup saya,” katanya. -Gempak
#Siti Nurhaliza #Penyanyi nombor satu negara #galeri #kerjaya seni
;