Siti Nurhaliza kembali beraksi di Royal Albert Hall London tahun depan
Gempak
Disember 18, 2018 18:20 MYT
Disember 18, 2018 18:20 MYT
PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akan kembali mengadakan konsert jelajah di Royal Albert Hall, London pada 22 April 2019.
Teruja berkongsi khabar gembira buat peminatnya, kata penghibur berusia 39 tahun itu, konsert berkenaan merupakan kemunculan semula beliau selepas kali terakhir mengadakan Konsert Unplugged Siti Nurhaliza di Istana Budaya pada 2015.
“Saya teruja untuk kembali semula ke London dengan memori dan pasukan yang hebat. Saya juga bersemangat untuk mengadakan konsert di pentas besar,” katanya kepada Gempak.
Penyanyi yang kini sibuk mempromosikan single Anta Permana itu dan penganjur Shiraz Projects bagaimanapun, mengalu-alukan mana-mana pihak untuk memberikan tajaan konsert berkenaan.
Siti Nurhaliza melakar sejarah kerana pernah mengadakan konsert solo di dewan berprestij di tengah-tengah kota London itu yang dinamakan Siti Nurhaliza Live In Royal Albert Hall, London pada 1 April 2005.
Sementara itu, penyanyi itu turut mengumumkan beliau akan menjayakan Konsert Dato' Seri Siti Nurhaliza On Tour ini bermula 21 Februari 2019 di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia diikuti lokasi seterusnya di Singapore Expo, Singapura pada 21 Mac 2019.
Peminat--peminat di Malaysia pula berpeluang menyaksikan konsert itu di Arena Axiata, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2019.
Konsert itu juga akan menampilkan beberapa segmen iaitu etnik/tradisional, balada, carta unggul dan unplugged di mana semua muzik dihasilkan dan diaturkan semula oleh pemuzik Aubrey Suwito bersama band All-Star.
Selain itu, penyanyi terkenal Indonesia, Tulus menjadi pilihan Siti Nurhaliza untuk ditampilkan sebagai artis jemputan dalam jelajah konsert itu.
Buah hati rakyat Malaysia itu juga tidak menolak kemungkinan akan mengadakan persembahan duet dengan Tulus menyanyikan sebuah lagu istimewa.
Pada hujung 2019 pula, sebuah filem dokumentari mengisahkan perjalanan belakang tabir sepanjang konsert jelajah ini berlangsung bertajuk They Call Me bakal dilancarkan di layar lebar.
Kepada peminat setia Siti Nurhaliza yang menonton konsert penyanyi itu boleh mendapatkan tiket-tiket berharga RM105, RM155, RM255, RM355, RM495 dan RM1295 (meet & greet) menerusi www.mytickets.asia bermula 26 Disember ini.
#Anta Permana
#Konsert Dato' Seri Siti Nurhaliza On Tour
#konsert solo
#penyanyi terkenal
#Royal Albert Hall London
#Siti Nurhaliza