Siti Nurhaliza beli kondominium mewah di Dubai

Faida Rahim
Disember 28, 2022 17:21 MYT
Siti Nurhaliza sempat berkongsi gambar rumah baharunya itu menerusi Instagram Story (IG Story) hari ini. - Gambar/ IG ctdk
KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dikatakan membeli kediaman mewah di Dubai.
Pelantun lagu Cindai itu sempat berkongsi gambar rumah baharunya itu menerusi Instagram Story (IG Story) hari ini, namun tidak menjelaskan lanjut.
"Alhamdulillah, home sweet home," tulisnya yang kini berada di Dubai bersama suami dan anak-anaknya.
Kediaman jenis kondominium yang dipercayai terletak di kawasan The Address Beach Resort itu dianggarkan bernilai lebih RM10 juta.
Walaupun tiada penjelasan lanjut daripada Siti Nurhaliza, anak tirinya, Asyraf Khalid, secara tidak langsung mengesahkan perkara itu apabila mengucapkan tahniah dan berkongsi perasaannya di IG Story.
Usahawan itu mengakui berharap dapat mengikut jejak langkah Siti Nurhaliza suatu hari nanti.
"Tahniah Mak Iti kerana berjaya memiliki kediaman pertama di Dubai. Saya sangat gembira dan bangga melihat kejayaan Mak Iti.
"Kejayaan ini juga menjadi inspirasi buat saya dan Tya untuk lebih berjaya," tulis Asyraf.
Tambah Asyraf atau Muhammad Asyraf Khalid, dia bangga melihat segala usaha keras Siti dalam industri seni dan perniagaan membuahkan kejayaan.
"Doakan satu hari nanti, saya boleh ikut jejak langkah Mak Iti. Saya doakan Allah akan murahkan rezeki lagi untuk ayah dan Mak Iti.
"Mak Iti memang layak untuk menerima semua ini atas segala usaha dan penat lelah yang dilakukan selama ini. Harapnya lepas ni kalau ke Dubai, dah tak perlulah sewa hotel," katanya.
#Siti Nurhaliza #usahawan #Dubai #Asyraf Khalid
;