Siti Nurhaliza bawa 'vibe' era 70-an dalam video muzik Takhta Dunia
Asyraf Roslan
Januari 9, 2021 11:30 MYT
Januari 9, 2021 11:30 MYT
TAHUN 2020 dilihat sukar namun ia tetap meninggalkan seribu satu kenangan manis buat penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Bukan setakat berjaya melancarkan album ManifestaSITI2020, malah namanya turut disenaraikan Forbes Asia sebagai antara 100 selebriti paling berpengaruh di media sosial peringkat Asia Pasifik.
Malah namanya bakal diabadikan di Walk Of Fame di Sungai Torrens, Adelaide, Australia.
Momen 2020 lebih indah buat pelantun lagu "Aku Bidadari Syurgamu" itu apabila mengumumkan sedang hamil anak kedua bersama suaminya Datuk K.
Itu antara momen menarik buat penyanyi kelahiran Kuala Lipis itu sepanjang tahun lepas.
Dan sebagai pembuka tahun baharu, Siti Nurhaliza mengambil peluang melancarkan sebuah lagi video muzik iaitu lagu "Takhta Dunia" ciptaan komposer terkenal Indonesia, Ryan Kyoto.
Siti mendapatkan khidmat kreatif pengarah Azhar dari Rasa Film untuk mengarahkan video muzik tersebut.
Lebih menarik, Siti juga mempersembahkan 'vibe' era 70-an di sebuah stesen kereta api yang dinamakan Lipis Sentral untuk video muzik kali ini.
Ini merupakan permintaan Siti Nurhaliza sendiri untuk memberi kelainan kepada penonton yang menonton video muziknya.
Penggambaran video muzik "Takhta Dunia" merupakan antara kerja terakhir sebelum berehat untuk memberi fokus kepada kandungannya yang kini masuk bulan kelima.
Video muzik rasmi "Takhta Dunia" mula ditayangkan di saluran YouTube Siti Nurhaliza tepat jam 9 malam tadi.