'Siti ni ... ustaz, ustazah pun suka' - Penganjur Karnival Mahabbah 1.0
Madiha Abdullah
April 5, 2019 15:33 MYT
April 5, 2019 15:33 MYT
Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan pembabitannya dalam Majlis Makan Malam Amal sempena 'Karnival Mahabbah 1.0' sebagai salah satu tanggungjawab sosial.
Bukan sahaja sebagai artis, malah karnival itu dilihat Siti sebagai sumbangan kecil terhadap pembangunan ummah, khususnya dalam mendekatkan masyarakat dengan masjid.
"Sebagai orang Islam, saya merasakan ini satu peranan kecil yang boleh diambil untuk membawa komuniti kita agar lebih dekat dengan masjid.
"Masjid tidak seharusnya dilihat sebagai tempat ibadat semata-mata tetapi kita perlu sedar bahawa masjid juga merupakan pusat aktiviti masyarakat setempat.
"Jika baru-baru ini peminat membanjiri konsert saya, besar harapan saya peminat dapat memberikan sokongan sama terhadap usaha murni ini pula," kata Siti.
Beliau ditemui pada sidang media Karnival Mahabbah 1.0 di The Pearl di ibu negara, pada Jumaat.
Karnival itu disasarkan untuk mengumpul dana untuk membantu mereka yang memerlukan, terutama dalam persiapan menyambut Ramadan dan Hari Raya.
Sementara itu, pengarah program, Ustaz Mohd Hafizullah Mohd Tahir, memaklumkan pemilihan Siti sebagai teraju utama makan malam karnival itu bersama kumpulan Hijjaz, adalah atas faktor pengaruh yang dimilikinya.
"Sewaktu membuat pemilihan, kami mencari seorang artis yang mampu menarik orang ramai ke acara itu.
"Siti bukan sahaja disukai segenap lapisan masyarakat, malah dalam kalangan ustaz dan ustazah pun ramai yang meminati beliau.
"Alhamdulillah, proses 'meminang' Siti berjalan dengan lancar dan kami berbesar hati dengan kesediaan beliau menyertai usaha ini," kata Mohd Hafizullah.
Karnival Mahabbah anjuran Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh itu akan berlangsung dari 24 April sehingga 28 April di Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Majlis Makan Malam Amal bersama Siti dan Hijjaz akan berlangsung pada 24 April jam 8.30 malam.
Tiga kategori meja akan dijual untuk persembahan itu iaitu platinum (RM5,000), Gold (RM3,000) dan Silver (RM2,000).
Maklumat lanjut tentang pembelian meja boleh didapati di laman Facebook Masjid Muhibbuddin Shah Ipoh atau menghubungi talian 05-246 1404.
#Ipoh
#Islam
#Karnival Mahabbah
#konsert
#masjid
#Masjid Muhibbuddin Shah
#Mohd Hafizullah Mohd Tahir
#Siti Nurhaliza