Siti Aafiyah satu tanggungjawab buat Siti Nurhaliza

Asyraf Roslan
Januari 11, 2019 18:52 MYT
Datuk Seri Siti Nurhaliza menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke 40 hari ini.
KEHADIRAN Siti Aafiyah dalam hidup mustika hati negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bukan sekadar pelengkap rumah tangga penyanyi itu dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohammad Jiwa.
Sebaliknya, cahaya mata yang akan berusia setahun pada Mac depan merupakan amanah dan tanggungjawab yang besar buat Siti Nurhaliza yang genap usianya 40 tahun hari ini.
Tidak ada hari tanpa Siti Nurhaliza melafazkan rasa syukur dan beruntungnya kerana dihadirkan Siti Aafiyah selepas 11 tahun berkahwin.
“Secara peribadi saya bersyukur penantian selama 11 tahun ketika itu, Allah SWT telah perkenankan dengan kehadiran Aafiyah pada tahun ke-12 (perkahwinan).
"Jadi pada tahun ini ia merupakan satu tanggungjawab baru kerana apabila Allah kurniakan cahaya mata bagaimana yang saya inginkan itu merupakan satu tanggungjawab untuk membesarkan aafiyah dengan cara yang terbaik,” katanya ketika ditemubual oleh krew Astro AWANI di kediamannya.
Setelah berehat agak lama bagi memberi tumpuan kepada cahaya matanya, Siti Aafiyah, beliau juga mengakui, berdebar untuk kembali ke dalam industri kerana ia merupakan satu pertaruhan besar buatnya untuk kembali.
Namun, Sejak lagu Anta Permana di perkenalkan di media sosial, masyarakat dapat menerima lagu tersebut dengan baik, sehingga munculnya Anta Permana Challenge, beliau berasa yakin untuk kembali.
Baginya, Hael Husaini dan Ezra Kong yang mencipta lagu berkenaan telah melakukan yang terbaik sehingga berjaya mendapat tempat di carta-carta radio tempatan.
Tambahnya, gaya penyampaiaan buat lagu Anta Permana agak berbeza kerana dia menekankan cara nyanyian ala Allahyarham Puan Sri Saloma.
Baginya tidak semua lagu sesuai untuk dinyanyikan dengan gaya yang mendayu-dayu namun lagu Anta Permana telah dicipta sebegitu dan ia merupakan satu langkah yang baik untuk kembali dengan lagu tersebut.
Dalam pertemuan itu juga, penghibur yang sudah 23 tahun menyanyi turut menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga buat semua yang menyokong perjalanan seninya selama ini.
#Anta Permana #Happy birthday #Siti Aafiyah #Siti Nurhaliza #SitiGolden40th
;