Siri konsert dalam talian Malaysia Live!, beri ruang industri hiburan terus menyala
Astro Awani
Januari 22, 2021 14:10 MYT
Januari 22, 2021 14:10 MYT
KUALA LUMPUR: Sepanjang tempoh dunia dilanda pandemik COVID-19, pelbagai industri menerima kesan besar berikutan sekatan pergerakan dan juga rentak bisnes yang terhad, sekali gus menjejaskan peluang pekerjaan serta peluang menjana pendapatan.
Industri hiburan juga menerima tempias yang nyata dalam suasana yang tidak menentu ini.
Bagi golongan penyanyi, pemuzik dan tenaga mahir di sebalik sesebuah persembahan, misalnya, perlu mencari penyelesaian di celah-celah keperitan dan keterbatasan tersebut.
Situasi bagi mereka yang punca pendapatan bergantung kepada persembahan seni dan hiburan secara live semakin meruncing dengan banyak perkerjaan yang terjejas walaupun mereka telah mencuba mengadaptasikan diri pada norma baharu.
Berpegang kepada hakikat bahawa elemen hiburan masih lagi dicari-cari oleh orang ramai sebagai pemangkin semangat dalam mendepani tempoh sukar hari ini, satu inisiatif telah dijalankan menerusi penganjuran Malaysia Live!.
Ia merupakan siri konsert dengan kerjasama antara Pam Shahril and Shahril Razak dari Gabung Cipta, sebuah syarikat pembekal sistem audio dan cahaya profesional; bersama pengarah muzik, Datuk Acis; dan penerbit konsert, Jennifer Thompson.
Kerjasama itu adalah untuk mengekalkan dan memulakan acara konsert secara langsung dalam talian, bukan hanya untuk artis-artis tanahair malah juga bagi rantaian pembekal, jurutera, venue, pekerja dan perniagaan di belakang tabir yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Siri konsert tersebut akan bermula dengan penstriman langsung dua episod pengenalan pada bulan Januari ini. Ia bukan sekadar menjana pekerjaan malah untuk menghiburkan peminat muzik tanah air dan membawa sedikit sebanyak keterujaan konsert live walaupun dilangsungkan secara maya.
Kedua-dua konsert ini akan dimeriahkan artis-artis pendatang baharu dan ternama dalam industri muzik.
Konsert ini telah dirakam secara langsung tanpa penonton di KL Live @ Life Centre, iaitu salah satu venue yang terkenal untuk persembahan live dan artis diiringi oleh pemuzik-pemuzik tersohor Datuk Acis (keyboard and pengarah muzik); Fendi Mokhtar (dram), Jenny Chin (keyboard), Rozhan Rahman (bass), Wan Gigi (gitar), Jamie Wilson (gitar), Steve Thornton (percussion); dan penyanyi latar Yuaz Bahtiar Kassim, Eja Muhd. Nor and Juanita Ismail.
Penonton dapat menonton premier episod-episod tersebut di saluran YouTube Malaysia Live! seperti berikut:
EPISOD 1:
Live-steaming pada 22 Januari 2021, (Jumaat), 9 malam
Artis-artis: Aizat Amdan, Dayang Nurfaizah, DOLLA, Hael Husiani, Haqiem Rusli, Jaclyn Victor, Noh Salleh, Yonnyboii and Zynakal
Pengacara: Nazrudin Rahman
EPISOD 2
Live-streaming pada 29 Januari 2021, (Jumaat), 9 malam
Artis-artis: Faizal Tahir, Ismail Izzani, Kmy Kmo & Luca Sickta, Dato’ M. Nasir, Ruffedge, Shalma Eliana, Tuju and Zizi Kirana
Pengacara: Adibah Noor
“Industri muzik adalah salah satu industri yang paling terjejas oleh kerana acara-acara live untuk khalayak ramai tidak dibenarkan berlangsung.
“Dengan pengurangan atau kehilangan punca pendapatan dari sektor persembahan live, yang merupakan sektor utama pendapatan seseorang artis atau pemuzik, ada yang terpaksa mencari perkerjaan lain untuk menyara hidup dan dalam senario terburuk, mereka terpaksa menjual peralatan muzik yang sekian lama menjadi punca mata pencarian.
“Dengan Malaysia Live!, saya berharap ia akan memberi ruang untuk semua yang terkesan untuk mula menjana pendapatan dan bagi peminat muzik menyambung semula keistimewaan menoton acara secara langsung,” ujar Datuk Acis.
Kedua-dua Pam Shahril dan Shahril Razak yang telah berkecimpung 15 tahun dalam industri acara live pula berkata, ramai orang hanya melihat apa yang berada di atas pentas.
“Di sebaliknya, usaha untuk mengendalikan sesebuah acara melibatkan ratusan tenaga pakar dan pekerjaan yang berkenaan termasuk jurutera, krew dan juga venue, katering, tiketing, keselamatan, syarikat logistik dan banyak pihak lagi yang membentuk sebuah pasukan untuk menjayakan sebuah persembahan,” ujar mereka.
Sementara itu Jennifer Thompson menafikan pekerja industri hiburan tidak mencuba menyesuaikan diri atau meningkatkan kemahiran untuk mengadaptasikan diri kepada norma baharu tetapi ia perlukan lebih daripada usaha kita sendiri.
“Kadang-kadang ia juga tergantung kepada situasi infrastruktur yang di luar kawalan kita ataupun corak pemikiran penonton yang mungkin mengambil masa untuk berubah. Dalam industri hiburan, perubahan adalah lumrah kehidupan tetapi dalam keadaan drastik ini, dan dalam percubaan untuk menyesuaikan diri, kita masih perlu cari makan dan membayar bil.
“Objektif semestinya adalah untuk mengesyorkan kita tidak kehilangan bakat dan pakaran industri kita kepada perkerjaan lain,” jelasnya.
Siri konsert Malaysia Live! Ini diharap akan berterusan supaya lebih ramai artis, pemuzik dan tenaga pekerja industri muzik dapat melibatkan diri dalam pelaksanaan konsert-konsert seterusnya.
Kedua-dua episod menerima sokongan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (PENJANA) yang memberi tumpuan penting untuk membantu pengiat dan perniagaan industri kreatif yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Objektif utama adalah untuk membolehkan aktiviti dan perniagaan industri kreatif dimulakan semula demi kelangsungan pendapatan penggiat industri yang amat bergantung kepadanya.
Untuk mendapatkan berita terkini sila layari platform media sosial Malaysia Live! di :
YouTube - MalaysiaLiveMY
Facebook - www.facebook.com/MalaysiaLiveMY
Instagram - www.instagram.com/MalaysiaLiveMY
Twitter - twitter.com/MalaysiaLiveMY
#konsert
#industri hiburan
#pekerja industri
#konsert dalam talian
#malaysia live
#penyanyi
#pemuzik
#pamdemik
#COVID-19