Siri 'Descendants of the Sun' berakhir, peminat tarik nafas lega
Madiha Abdullah
April 16, 2016 11:59 MYT
April 16, 2016 11:59 MYT
MEREKA yang mengikuti perkembangan hiburan Korea Selatan tentunya sangat arif dengan demam produk terbaharu keluaran negara itu, Descendant of the Sun.
Menamatkan kisah pada episod ke 16, nyata ramai yang berpuas hati apabila pengakhiran sedih yang dijangkakan, tidak menjadi kenyataan.
Pengarah nampaknya menjadikan rungutan penonton sebagai rujukan, dan memasukkan elemen twist yang tidak disangka, sekaligus berjaya memuaskan hati jutaan peminat yang setia mengikuti drama tersebut.
Emosi penonton seolah-olah tidak dapat ditahan lagi, dan ini terbukti apabila hashtag #descendantsofthesun masih trending biarpun sudah dua hari ia melabuhkan tirai.
Lebih menggembirakan, peminat juga bakal disajikan dengan tiga episod tambahan (3-part special), iaitu dua episod tambahan pada 20 dan 21 April, dan satu episod epilog pada 22 April.
Descendants of the Sun terbitan KBS, buat masa ini disifatkan drama bersiri paling berjaya di Korea, apabila berjaya mencatat lebih 30 peratus tontonan di Korea Selatan sahaja; sesuatu yang dianggap sebagai rekod yang mustahil untuk dicatatkan sebelum ini.
Episod terakhir pula berjaya merekodkan 38.8 peratus tontonan.
Drama lakonan Song Joong-ki, Song Hye-kyo, Kim Ji-won dan Jin Goo itu berlatarbelakangkan kisah cinta antara kapten pasukan Unit Khas Korea dengan seorang doktor, dan pilihan yang terpaksa dibuat selepas menyedari perbezaan yang wujud antara mereka.