Simon Cowell tarik diri sebagai juri 'X Factor Israel'
Afiq Ariffin
Mei 31, 2021 10:22 MYT
Mei 31, 2021 10:22 MYT
JURI rancangan realiti TV popular, Simon Cowell dilapor telah membatalkan penglibatannya sebagai juri pada musim terbaharu "X Factor Israel."
Lapor portal hiburan Variety, wakil penerbit “X Factor Israel”, Reshet memaklumkan Cowell telah menarik diri 'atas sebab tersendiri'.
Reshet turut mengesahkan Cowell tidak akan terlibat dalam mana-mana bahagian rancangan itu.
Akhir tahun lalu, selebriti itu menandatangani perjanjian menjadi salah seorang juri pada musim seterusnya yang dijadual memulakan penggambaran pada musim panas ini.
Sebelum ini, desas-desus pembatalannya selaku juri bertiup kencang dan turut dilaporkan beberapa portal media antarabangsa.
Namun, pembatalan itu disahkan setelah kakitangan Cowell membuat panggilan telefon menyatakan “kebimbangannya” terhadap keganasan di Gaza baru-baru ini.
Wakil Cowell walau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus "kebimbangan" yang dimaksudkan itu.
Dalam perkembangan berasingan, portal berita Jewish News melaporkan pihak produksi rancangan terbitan Israel itu kecewa kerana Cowell tidak dapat menyertai rancangan itu.
"X Factor Israel" buat pertama kalinya memilih penyertaan dari negara Israel sempena Pertandingan Lagu Eurovision 2022 yang akan diadakan di Itali.