'SimetriSiti' buah tangan terbaharu Datuk Siti Nurhaliza untuk peminat
Bernama
Mei 5, 2017 07:55 MYT
Mei 5, 2017 07:55 MYT
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza bakal kembali dengan album terbaru, 'SimetriSiti' iaitu album ke-18 baginya.
Album itu mempunyai 10 lagu baharu termasuk single terbarunya, ''Segala Perasaan'' ciptaan komposer Indonesia, Ivan Lahardika, selain lagu ciptaannya yang menampilkan penyanyi rap terkenal Joe Flizzow, berjudul ''Penghiburku''.
Menganggap album terbarunya itu sebagai buah tangan istimewa buat peminatnya, beliau yang telah berkecimpung dalam industri muzik sejak 21 tahun lalu berkata 'SimetriSiti' mewakili dirinya untuk berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong kerjayanya selama ini.
''Hal ini dapat dilihat melalui konsep kulit album yang menampilkan sekumpulan peminat mengerumuni saya.
"Selain itu, terdapat beberapa lirik lagu dalam album ini didedikasikan khas untuk menghargai peminat yang menjadi nadi kejayaan saya," katanya sewaktu majlis pelancaran album berkenaan di sini, pada Jumaat.
Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sepanjang proses pembikinan album itu, Siti Nurhaliza berkata proses rakaman vokal sangat mencabar kerana dilakukan ketika beliau kurang sihat.
"Walaupun saya berasakan vokal saya tidak bersedia bagi merakam lagu pertama dan kedua album itu, namun Alhamdulillah apabila mendengar kembali, ia ternyata memberi satu sisi yang amat berbeza.
"Saya juga bersyukur kerana guru vokal dapat menjaga vokal saya dengan amat baik sekali selain dapat menghabiskan rakaman vokal pada waktu ditetapkan," katanya.
Lagu-lagu lain yang dimuatkan dalam album itu adalah Bersandar Cinta ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Ad Samad, Ikrar Cinta (Amirah Ali/ Sulu Sarawak), Aku Bukan Malaikat (Opick/ Dian), Manis Terindah (Aubrey Suwito/ Ad Samad), Tak Perlu Ragu (Ade Govinda), Kau Takdirku (Mohariz Yaakup/ Habsah Hassan), Hiasi Duniaku (Sid Murshid) dan lagu duet Kisah Ku Inginkan bersama penyanyi lelaki Indonesia, Judika ciptaan Ivan Lahardika.
Bagi pengarah projek album itu Aubrey Suwito, album berkenaan dirakam dengan menggunakan sentuhan muzik orkestra oleh Orkestra Simfoni Radio Nasional Bulgaria.
"Saya akui melalui proses sukar bagi penghasilan album ini namun saya gembira kerana pemuzik orkestra dari Bulgaria mengganggap ia album yang bagus selain kagum dengan suara Siti," katanya.
Album terbitan Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd itu akan mula berada di pasaran pada 10 Mei nanti.
-- BERNAMA