Silah Kilauan Emas meninggal dunia akibat COVID-19
Gempak
Mac 12, 2022 16:07 MYT
Mac 12, 2022 16:07 MYT
PENYANYI Silah yang juga bintang Kilauan Emas musim ketiga, menghembuskan nafas terakhir akibat pandemik COVID-19 di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, jam 10.20 malam tadi.
Isterinya Norasidah Khamis berkata, Allahyarham disahkan positif COVID-19 pada 4 Mac lalu dan keadaannya kritikal selepas lima hari.
Kata Norasidah lagi, suaminya ditidurkan selepas 15 minit atas persetujuan ahli keluarga.
“Doktor ada bertanya sama ada mahu membiarkan keadaan seperti biasa atau pesakit ditidurkan. Arwah mempunyai penyakit buah pinggang tahap empat, kencing manis, darah tinggi dan batu karang.
"Jadi, keluarga buat keputusan menidurkannya, itulah jalan terbaik agar tidak terus tersiksa.
"Bagaimanapun, arwah dipindahkan ke wad pesakit COVID-19, jam 4 pagi, kelmarin. Keesokannya, doktor melakukan dialisis darah dalam keadaan ditidurkan.
"Itu juga kali pertama arwah buat dialisis. Selepas melakukan dialisis, doktor memaklumkan tahap oksigen kembali okey, cuma buah pinggangnya sudah teruk, begitu juga paru-paru.
"Pihak hospital sedaya upaya melakukan terbaik untuk menyelamatkan arwah suami, namun, Allah lebih menyayanginya.
"Anak memaklumkan arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.20 malam tadi," katanya.
Arwah Silah meninggalkan sembilan anak dan seorang cucu.
Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Paya Panjang, Bukit Pasir, Muar, hari ini.