Sibuk siapkan album, Shila Amzah akui tak sempat keluarkan lagu raya tahun ini
Gempak
Mac 16, 2025 12:15 MYT
Mac 16, 2025 12:15 MYT
Hasrat Shila untuk menghasilkan lagu raya tahun ini terpaksa ditangguhkan susulan jadual kerjanya yang padat. -Gempak
PENYANYI Shila Amzah mengakui dia sebenarnya ada niat untuk menghasilkan lagu raya tahun ini, namun jadualnya yang padat dengan persiapan album baharu membuatkan hasrat itu terpaksa ditangguhkan.
Ringkasan AI
- Shila Amzah ingin membuat lagu raya tahun ini, tetapi jadualnya yang padat dengan persiapan album baharu membuatkan hasrat itu terpaksa ditangguhkan.
- Tahun lepas, Shila sempat mengeluarkan lagu raya versi Cina, tetapi untuk Aidilfitri, dia tiada lagu khas.
- Shila tidak menolak kemungkinan untuk menghasilkan lagu raya pada tahun hadapan jika keadaan mengizinkan.
Menurut Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, tahun lepas dia sempat mengeluarkan sebuah lagu raya versi Cina, namun untuk sambutan Aidilfitri sendiri, dia tiada lagu khas.
“Itulah lagu raya Cina saya ada pada tahun lepas. Hari raya kita, saya takde,” katanya kepada Gempak.
Shila berkongsi demikian ketika menghadiri majlis sidang media dan tayangan perdana program Raya Astro yang berlangsung di One World Hotel, Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Berkongsi lebih lanjut, pelantun lagu Patah Seribu itu berkata dia terlalu sibuk dengan album baharunya yang dijangka keluar tahun ini, menyebabkan dia langsung tiada masa untuk merakamkan lagu raya.
“Sebenarnya saya ada rasa nak buat lagu raya tahun ini tapi saya sibuk buat album yang akan keluarkan tahun ini juga. Jadi, memang saya tiada masa untuk keluarkan lagu raya tahun ini,” kongsinya.
Bagaimanapun, penyanyi sempat berseloroh dia sebenarnya bersyukur juga kerana tidak mengeluarkan lagu raya tahun ini.
Shila juga tidak menolak kemungkinan untuk menghasilkan lagu raya pada tahun hadapan sekiranya keadaan mengizinkan.
“Tapi nasib baik jugalah saya tak keluarkan lagu raya tahun ini sebab sekarang kita dah ada 10 buah lagu raya yang perlu semua orang hafal.
“Insya-Allah kalau tahun depan saya mungkin akan keluarkan lagu raya dan harapnya tak adalah sampai 20 buah lagu raya tahun depan. Kesian korang nak hafal.
"Insya-Allah kita nantikan,” ujarnya. -Gempak