Siapa Rene Angelil? Lima fakta tentang suami Celine Dion
Syafique Shuib
Januari 15, 2016 22:37 MYT
Januari 15, 2016 22:37 MYT
BERITA tentang kematian suami kepada penyanyi terkenal Celine Dion mengejutkan dunia hiburan.
Selepas bertarung dengan penyakit kanser selama 20 tahun, Rene Angelil menghembuskan nafas terakhir di sisi Celine pada Jumaat.
Rene Angelil terkenal bukan sahaja sebagai suami kepada Celine Dion, tetapi menjadi tulang belakang dalam karier penyanyi itu sehingga mencapai kejayaan.
Berikut adalah beberapa fakta tentang Rene Angelil:
1) Rene dilahirkan pada 16 Januari 1942 di Montreal Kanada. Ayahnya berasal dari Syria dan ibunya pula warganegara Kanada yang berasal dari Lubnan.
2) Menurut USA Today, beliau bermula sebagai penyanyi pop pada tahun 60-an di Kanada sebelum memasuki bidang pengurusan artis. Rene mula mengenali Celine Dion ketika penyanyi itu berusia 12 tahun lagi.
Walaupun Rene 26 tahun lebih tua daripada Celine Dion, ia tidak menghalang mereka untuk menjalin hubungan cinta. Mereka terus berkahwin pada 17 Disember 1994 di Montreal.
3) Menurut laman web Heavy.com, Rene merupakan seorang pemain poker profesional dan layak untuk bertanding di satu pertandingan bertaraf antarabangsa.
4) Pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan memiliki enam anak. Beliau mempunyai tiga orang anak bersama Celine Dion iaitu Rene-Charles dan pasangan kembar Eddy dan Nelson.
5) Celine Dion dalam satu temuramah untuk satu rancangan televisyen di Amerika Syarikat mendedahkan bahawa permintaan terakhir Rene adalah untuk menghembus nafas terakhir dipelukkan Celine.