Siapa pengganti Senator Tan Sri Jins Shamsuddin?

Aida Nurrulwahyu Zami
Jun 7, 2013 08:10 MYT
SESUAI dengan bahang Pilihanraya Umum ke-13 yang masih belum kebah, kini penggemar dan penggiat seni tempatan ternanti-nanti pula siapakah individu yang akan dilantik bagi mewakili suara artis di Dewan Negara bagi menggantikan Tan Sri Jins Shamsuddin.
Lebih-lebih lagi apabila dunia korporat diraikan dengan perlantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Bhd, Datuk Seri Abdul Wahid Omar sebagai Senator, seterusnya memegang jawatan Menteri.
Dunia perbankan sudah meraikan wiranya, bila pula giliran dunia seni ya?
Persoalan juga timbul sama ada wakil artis di dalam Dewan Negara akan dikekalkan ataupun tidak memandangkan kini telah banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa diri mereka sebagai wakil kepada suara para penggiat seni.
Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studio Norman Abdul Halim melihat wakil seniman perlu dilantik bagi memudahkan setiap suara seniman disampaikan menerusi platform yang betul.
Biarpun wujud pelbagai persatuan bagi memperjuangkan nasib seniman namun itu tidak memadai.
“Untuk ada satu wakil suara seniman di Dewan Negara berbeza dengan persatuan, mungkin persatuan ada pengaruh tetapi tiada kuasa, bukan bermaksud senator ada kuasa tapi dia ada platform untuk menyampaikan secara formal untuk membentangkan masalah dalam industri kreatif.”
“Persatuan ada berpuluh persatuan apabila masing-masing ada pendapat sendiri pastinya kita perlu satu seseorang yang boleh menapis tanpa menjejaskan kepentingan yang lain,” kata Norman yang ditemui di Cyberjaya baru baru ini.
Tambah Norman wakil suara seniman juga tidak semestinya dikalangan penggiat seni kreatif. Tetapi mereka yang dilantik perlulah peka dengan perkembangan industri seni tanah air agar dapat mentadbir dengan baik.
“Saya beranggapan senator atau wakil dari industri kreatif ini harus tahu bagaimana ingin mentadbir dan menguruskan kehendendak mereka, tapi wakil ini tidak semestinya dari kalangan seniman.”
“Yang penting kematangan dalam menguruskan masalah yang dihadapi oleh personaliti dan perlu bersikap natural,” katanya
Dalam pada itu Presiden Seniman Zed Zaidi berpendapat siapa pun yang akan dilantik oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mereka perlulah memperjuangkan nasib pengiat seni agar tidak dipinggirkan.
“Bagi saya mereka yang dipilih perlu lantang bersuara, dan bersikap sama rata kepada semua sektor seni.”
“Perdana Menteri akan tahu siapa yang betul-betul layak dan bersesuaian supaya dapat membantu pengiat seni tempatan secara keseluruhannya,” katanya.
Jins telah menjadi wakil suara seniman di dewan negara bermula Oktober 2004 hingga 2010. Sebagai senator pelbagai isu telah dibangkitkan berhubung permasalahan karyawan tanah air.
Antaranya membangunkan kuota import filem asing untuk melindungi filem tempatan dan memberi cadangan agar filem dengan budaya ditekankan bagi mengelakkan kes gejala sosial.
Pelakon dan pengarah ini juga telah menguatkuasakan peraturan kepada semua stesen televisyen agar membayar saguhati kepada pelakon di atas penayangan filem dan lagu mereka.
Namun selepas Jins tamat tempoh dan dilanda penyakit alzheimer atau hilang ingatan, tiada wakil yang dipilih bagi menganti tempat senator itu.
Bagaimanapun beberapa nama disebut-sebut bagi mengantikan kerusi seniman yang berusia 78 tahun itu. Antaranya Rosyam Nor dan Datuk Aznil Nawawi.
#Aznil Nawawi #Rosyam Nor #Tan Sri Jins Shamsuddin
;