Siapa mahu buat filem, drama TV tentang bomba?
Astro Awani
Disember 5, 2014 16:33 MYT
Disember 5, 2014 16:33 MYT
Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempelawa penggiat filem dan televisyen untuk menerbitkan filem atau siri drama televisyen mengenai anggota bomba.
Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata penerbitan filem atau siri drama televisyen itu diharapkan dapat meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sememangnya mempunyai rekod baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
"Saya ingin mengalu-alukan penggiat seni yang ingin menggambarkan kehidupan angota bomba. (Kementerian) dengan lapang hati, lapang dada (sedia) bekerjasama dengan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Johor di Johor Bahru pada Khamis.
Jelas Abdul Rahman, bantuan kepada penerbit filem dan siri drama televisyen itu termasuklah soal bantuan peralatan, nasihat dan penerangan prosedur bagi tujuan penerbitan berkenaan.
"Kita hendak kehidupan anggota bomba dapat difilemkan (dengan) pelakon bekerja sebagai anggota bomba, sebagaimana pihak polis memberikan kerjasama yang cukup erat dengan penggiat seni," tambah beliau.
Polis Di-Raja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri sekarang ini bekerjasama dengan Skop Productions Sdn. Bhd. dalam penerbitan siri drama televisyen Gerak Khas. Kerjasama itu juga berlanjutan dalam penerbitan tiga buah filem yang didasarkan daripada siri televisyen itu.
Kementerian Pertahanan juga sebelum ini pernah menjalin kerjasama dengan penggiat filem dalam penerbitan filem Wira Angkasa dan Darah Satria yang mengangkat kisah tentera udara dan tentera darat pada dekad 1980-an.